MONACO: Las Vegas akan terus menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) sekurang-kurangnya sehingga tahun 2037 selepas perjanjian lanjutan kontrak selama 10 tahun dimuktamadkan.
Pengumuman itu menyaksikan Grand Prix Las Vegas kekal dalam kalendar rasmi F1, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi utama sukan permotoran dunia.
Perjanjian berkenaan melibatkan Formula 1, Las Vegas Grand Prix Inc., pihak berkuasa Clark County serta Las Vegas Convention and Visitors Authority (LVCVA), bagi memastikan kelangsungan penganjuran acara berprestij itu untuk jangka panjang.
Perlumbaan di Las Vegas kembali dianjurkan pada tahun 2023 menerusi litar jalanan di sepanjang Strip ikonik bandar tersebut, dan sejak itu ia mendapat sambutan luar biasa dengan tiket habis dijual setiap tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali menyifatkan kejayaan sejak penganjuran semula perlumbaan itu sebagai bukti Las Vegas mempunyai potensi besar sebagai hab penting F1 di Amerika Syarikat.
Beliau berkata, bandar tersebut bukan sahaja menawarkan aksi perlumbaan bertaraf dunia, tetapi turut menggabungkan elemen hiburan global, perniagaan dan gaya hidup yang menjadikannya unik dalam kalendar F1.
Dalam tempoh tiga tahun penganjurannya, Grand Prix Las Vegas dilaporkan menjana impak ekonomi kumulatif bernilai berbilion dolar kepada wilayah selatan Nevada.
Selain itu, edisi tahun 2025 sahaja menyumbang puluhan juta dolar hasil cukai kepada kerajaan tempatan serta menarik ratusan ribu pengunjung sepanjang tempoh perlumbaan.
Presiden dan Ketua Eksekutif Las Vegas Grand Prix Inc., Emily Prazer menyifatkan pelanjutan kontrak itu sebagai detik penting yang mencerminkan kekuatan kerjasama antara penganjur dan pihak berkepentingan tempatan.
Dengan lanjutan ini, Las Vegas dijangka terus memainkan peranan sebagai antara perlumbaan utama dalam kalendar Formula Satu, seiring dengan usaha memperkukuh kehadiran sukan itu di pasaran Amerika Syarikat. - Agensi