Skip to main content

Malaysia

LKIM tubuh PNK Kalabakan, perkasa akses pembangunan komuniti nelayan Tawau

LKIM UMUM PNK KALABAKAN
Majlis Perasmian Penubuhan PNK Kalabakan disempurnakan oleh Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil.

TAWAU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada Khamis mengumumkan penubuhan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kalabakan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh pembangunan dan kebajikan komuniti nelayan di kawasan luar bandar Tawau.

Menurut kenyataan LKIM, PNK Kalabakan telah didaftarkan secara rasmi pada 13 Mac lalu, menjadikannya PNK ke-92 di Malaysia dan PNK ke-17 di Sabah.

Pengumuman itu dibuat sempena Majlis Perasmian Penubuhan PNK Kalabakan yang berlangsung di Dewan Hotel De Choice, Tawau dan disempurnakan oleh Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil.

Dalam kenyataan sama, LKIM memaklumkan, penubuhan persatuan tersebut bertujuan menyelaras keperluan komuniti nelayan di Kalabakan, di samping membolehkan mereka memperoleh akses yang lebih sistematik kepada pelbagai program pembangunan, bantuan kebajikan dan peluang ekonomi.

“Penubuhan PNK Kalabakan merupakan langkah strategik bagi memastikan komuniti nelayan di kawasan berkenaan mendapat akses yang lebih tersusun kepada program pembangunan serta bantuan yang disediakan,” menurut kenyataan LKIM yang disiarkan hari ini

Selain itu, LKIM memaklumkan, PNK Kalabakan merangkumi beberapa kawasan utama termasuk Tanjung Batu, Merotai dan gugusan FELDA Umas, yang menempatkan sejumlah besar komuniti nelayan yang bergantung kepada sektor perikanan sebagai sumber pendapatan.

LKIM turut mengenal pasti beberapa keperluan pembangunan lain yang memerlukan perhatian, antaranya bantuan peralatan nelayan serta penyediaan kemudahan infrastruktur. Bagaimanapun, pelaksanaannya akan dipertimbangkan berdasarkan keutamaan semasa dan peruntukan yang tersedia.

Dalam masa sama, LKIM berharap penubuhan PNK baharu itu dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti nelayan tempatan, sekali gus memperkukuh kedudukan sosioekonomi mereka pada masa hadapan.

Pada 24 Mei lalu, Astro AWANI melaporkan gesaan agar LKIM mempercepatkan proses kelulusan penubuhan PNK Kalabakan berikutan kebimbangan nelayan tempatan terhadap cubaan pihak tertentu untuk mengambil alih kepimpinan persatuan berkenaan.

Situasi itu dilaporkan mencetuskan keresahan dalam kalangan nelayan setempat ketika proses kelulusan penubuhan PNK tersebut berada di peringkat akhir selepas hampir tiga tahun diusahakan. 

Dengan pendaftaran rasmi yang kini dimuktamadkan, penubuhan PNK Kalabakan dilihat mampu memperkukuh penyelarasan kepentingan komuniti nelayan di kawasan berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement