Skip to main content

Politik

BN bukan angkuh: Pegawai Ahmad Zahid jawab kritikan, jelaskan teori 'kingmaker'

JOHOR BAHRU, 7 Jun -- Presiden Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Johor, bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16, di Stadium Tertutup Kompleks Educity hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad Zahid menegaskan, Kerajaan Perpaduan tidak akan dapat dibentuk tanpa peranan BN, walaupun gabungan itu hanya memiliki 30 kerusi Parlimen. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Pandangan bahawa Barisan Nasional (BN) bersikap 'angkuh' tidak wajar dilontarkan tanpa memahami asas teori sains politik berkaitan pembentukan kerajaan gabungan, kata Exco Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil.

Fadzmel, yang juga setiausaha akhbar kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun BN hanya memiliki 30 kerusi Parlimen, kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu bahawa Kerajaan MADANI tidak dapat dibentuk tanpa BN adalah berasaskan konsep 'Coalition Theory' yang diperkenalkan sarjana politik William H. Riker.

“Dalam teori ini, kestabilan kerajaan bukan semata-mata bergantung kepada siapa mempunyai kerusi terbanyak.

“Sebaliknya, ia bergantung kepada siapa yang bertindak sebagai faktor penentu atau 'pivot factor'," katanya dalam satu catatan di media sosial pada Isnin.

BN sebagai ‘paksi’ dalam Parlimen tergantung

Fadzmel menjelaskan, keputusan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) yang menghasilkan Parlimen tergantung meletakkan BN dalam kedudukan strategik sebagai 'kingmaker'.

Katanya, BN bukan sahaja melengkapkan jumlah majoriti untuk membentuk kerajaan malah, penglibatan turut membantu memastikan keseimbangan komposisi kaum dalam Kabinet.

“BN bukan sahaja mencukupkan angka majoriti, malah memastikan suara Melayu diwakili secara signifikan dalam kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Mohd Kamil Munim, mengkritik kenyataan Ahmad Zahid dan menyifatkannya sebagai angkuh.

Kritikan itu dibuat dengan mengambil kira kedudukan BN yang hanya memiliki 30 kerusi, berbanding Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai jumlah lebih besar dalam Dewan Rakyat.

Ahmad Zahid pula sebelum ini menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan dapat dibentuk tanpa peranan BN.

Kenyataan itu mencetuskan perdebatan mengenai sejauh mana pengaruh sebenar parti tersebut dalam landskap politik pasca-PRU15.

‘Ijtihad politik’ dan kestabilan kerajaan

Dalam kenyataan sama, Fadzmel menyifatkan keputusan kepimpinan BN sebagai satu bentuk 'ijtihad politik'.

Menurutnya, ia keputusan berisiko tinggi, namun berjaya menyumbang kepada pembentukan kerajaan yang stabil.

Katanya, pendekatan itu bukan sesuatu yang luar biasa dalam politik global.

Dalam banyak situasi jelasnya, parti tradisional bertindak sebagai faktor penstabil ketika landskap politik berpecah.

“Banyak negara menyaksikan bagaimana parti-parti tradisi menjadi tonggak yang mengelakkan ekstremisme politik,” katanya.

Ambil iktibar kes Itali

Fadzmel turut merujuk kejatuhan kerajaan bekas Perdana Menteri Itali, Mario Draghi.

Katanya, ia contoh kegagalan kerajaan yang tidak mempunyai “elemen pengikat” antara parti dalam gabungan.

Menurutnya, tanpa kesepaduan ideologi atau peranan penyatu, kerajaan boleh runtuh dalam tempoh singkat walaupun memiliki banyak kerusi.

“Jika parti hanya berbangga dengan jumlah kerusi tanpa ada ‘gam’ yang mengikat, kerajaan boleh runtuh dalam masa beberapa bulan,” katanya.

BN tidak tuntut monopoli kuasa

Dalam pada itu, beliau menegaskan UMNO dan BN tidak pernah mendakwa sebagai pemilik tunggal Kerajaan Perpaduan.

Namun, katanya, BN antara pihak yang mengambil risiko paling besar pada peringkat awal pembentukan kerajaan.

“UMNO/BN tidak pernah mendakwa memiliki kerajaan ini secara eksklusif.

“Tetapi tiada siapa boleh menafikan bahawa kami meletakkan modal politik paling berisiko pada awal penubuhannya,” katanya.

 

Must Watch Video

Advertisement