KUANTAN: Parti Bersama Malaysia (Bersama) menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai platform awal untuk menilai tahap sokongan rakyat terhadap parti itu yang baharu sebulan ditubuhkan.
Pemimpinnya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, keputusan PRN berkenaan akan menjadi penanda aras dalam menilai penerimaan pengundi terhadap Bersama, termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina dan India.
Menurutnya, parti itu mempunyai sasaran sokongan tersendiri yang digunakan bagi mengukur kekuatan serta potensi gerakan politik baharu tersebut pada masa hadapan.
Tegas Rafizi, PRN Johor ialah proses berterusan untuk memperkenalkan Bersama kepada pengundi.
Dalam masa sama, jelas Rafizi, apa sahaja keputusan PRN Johor kelak tidak akan mengubah hala tuju dan strategi Bersama yang akan terus kekal bergerak secara solo.
"Rakyat juga faham, agak mustahil bagi parti yang baharu sebulan ditubuhkan untuk menewaskan parti-parti besar seperti Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
"Jadi, ia tidak akan mengubah strategi kami untuk terus bergerak secara solo sehingga pilihan raya akan datang, malah jika boleh untuk jangka panjang,” kara Rafizi kepadaa wartawan selepas program Jelajah Kancil, di sini, pada Ahad.
Tambah beliau, keputusan PRN Johor akan dimanfaatkan untuk memperbaiki kelemahan parti, namun tidak akan mengubah hala tuju mahupun strategi Bersama yang kekal bergerak secara solo.
Dalam perkembangan berkaitan, Rafizi turut mendedahkan, lebih 70 individu telah menawarkan diri untuk menjadi calon parti itu di Johor.
Pengumuman mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi Bersama dijangka dibuat secara rasmi hari ini, manakala pengenalan calon dijadual berlangsung pada Jumaat.