SEREMBAN: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Ridzuan Ahmad mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tampin, sekali gus keluar daripada parti itu berkuat kuasa hari ini.
Ridzuan dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat selepas pertimbangan yang panjang, penelitian mendalam serta muhasabah terhadap perkembangan politik semasa di Negeri Sembilan.
“Saya percaya langkah ini selaras dengan prinsip dan pendirian saya untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat khususnya pengundi di DUN Gemas, dalam suasana dinamika politik negeri yang semakin mencabar.
“Sepanjang penglibatan saya dalam Bersatu, saya telah berusaha sebaik mungkin memperjuangkan suara rakyat Gemas dan Negeri Sembilan.
"Saya merakamkan penghargaan kepada presiden dan seluruh kepimpinan serta ahli yang bersama-sama melalui pelbagai cabaran,” katanya.
Ridzuan berkata, beliau akan terus komited berkhidmat kepada rakyat Gemas dan yakin landskap politik negeri memerlukan pendekatan lebih matang, stabil dan berfokuskan kesejahteraan rakyat melebihi kepentingan parti.
-- BERNAMA