Skip to main content

Politik

Analisis PRN Johor: Prestasi parti kini jadi ukuran pengundi muda

[TB]_AHMAD FAUZI ABDUL HAMID_USM
Ahmad Fauzi berkata, perubahan demografi pengundi menyaksikan generasi muda tidak lagi mempunyai kesetiaan mutlak terhadap mana-mana parti politik. - Foto USM

KUALA LUMPUR: Corak pengundian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka dipengaruhi perubahan sikap pengundi, khususnya golongan muda yang kini lebih cenderung menilai prestasi parti berbanding kesetiaan politik.

Profesor Kehormat (Sains Politik), Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, perubahan demografi pengundi menyaksikan generasi muda tidak lagi mempunyai kesetiaan mutlak terhadap mana-mana parti politik.

Menurut beliau, golongan itu lebih pragmatik dalam membuat pilihan dan akan menilai prestasi sesebuah kerajaan atau parti sebelum memberikan sokongan.

"Jika sesebuah parti gagal memenuhi harapan, mereka tidak teragak-agak mengalihkan sokongan kepada parti lain pada pilihan raya berikutnya. Mereka boleh mengundi UMNO jika Pakatan Harapan tidak menunjukkan prestasi yang baik, atau kembali menyokong Pakatan Harapan sekiranya parti itu diyakini mampu mentadbir dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan Malaysia kini memasuki era politik baharu apabila prestasi dan keupayaan mentadbir semakin mengatasi sentimen serta kesetiaan tradisional terhadap parti.

Mengulas PRN Johor, Ahmad Fauzi berkata pilihan raya kali ini turut memperlihatkan situasi unik apabila Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bertembung di peringkat negeri meskipun kedua-duanya merupakan rakan dalam Kerajaan Persekutuan.

Katanya, keputusan pilihan raya itu bakal menentukan sama ada sesebuah gabungan mampu memperoleh majoriti mutlak atau negeri berkenaan sekali lagi memerlukan kerjasama antara parti untuk membentuk kerajaan.

Beliau turut berpandangan pertandingan pelbagai penjuru yang semakin menjadi kebiasaan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 berpotensi menyebabkan pemecahan undi, sekali gus membuka ruang kepada kemenangan dengan majoriti yang lebih kecil berbanding sebelum ini.

Sehubungan itu, Ahmad Fauzi berkata PRN Johor bakal menjadi medan penting untuk menguji sama ada perubahan corak pengundian, khususnya dalam kalangan pengundi muda, benar-benar mampu mencorakkan landskap politik negeri apabila prestasi pentadbiran kini dilihat lebih utama berbanding kesetiaan kepada parti.

 

 

Must Watch Video

Advertisement