Skip to main content

Politik

[ANALISIS] Arkitek Maju Johor, Onn Hafiz Ghazi hadirkan kemenangan besar untuk BN

JOHOR BAHRU, 11 Julai -- Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap hadir menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Renggam hari ini.  Onn Hafiz yang bertanding penggal kedua pada PRN Johor ke-16 berdepan pencabar tunggal Nur Hafiz Roslan daripada Pakatan Harapan (PH).  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
PRN Johor 2026 memperlihatkan bagaimana BN membina laluan ke arah supermajoriti melalui mobilisasi kuat pengundi Melayu luar bandar, ketika PH gagal menggerakkan penyokong bandar dan luar kawasan. Kadar keluar mengundi yang tidak seimbang, pengunduran sebahagian pengundi Cina, serta kekuatan jenama kepimpinan Onn Hafiz Ghazi dan agenda Maju Johor membantu BN menguasai naratif serta mengekalkan dominasi negeri. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) sehingga 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi kenyataan, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 bukan sekadar kemenangan pilihan raya biasa.

Keputusan yang di luar jangkauan majoriti pemerhati politik ini jelas mencerminkan perubahan yang lebih besar dalam tingkah laku pengundi Johor. 

Pilihan raya kali ini menunjukkan bagaimana gabungan mobilisasi jentera yang berkesan, faktor kepimpinan tempatan dan kelemahan lawan boleh menghasilkan kemenangan berskala besar walaupun berdepan parti yang menguasai Kerajaan Persekutuan.

Pemerhatian awal Astro AWANI mendapati terdapat empat faktor dilihat menjadi pemangkin utama kepada keputusan tersebut. 

Antaranya ialah peningkatan keluar mengundi yang tidak seimbang antara bandar dan luar bandar, kegagalan Pakatan Harapan (PH) memanfaatkan kelebihan sebagai kerajaan pusat, perubahan corak pengundian masyarakat Cina serta keberkesanan penjenamaan Maju Johor ilham Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

Lonjakan keluar mengundi memihak kepada BN

Secara keseluruhan, kadar keluar mengundi di bawah 70 peratus merupakan peningkatan ketara berbanding hanya 54.1 peratus pada PRN Johor 2022.

Bagaimanapun, angka keseluruhan itu tidak menggambarkan realiti sebenar di lapangan.

Peningkatan tersebut didorong terutamanya oleh kawasan luar bandar dan separa bandar yang selama ini menjadi kubu tradisi BN. 

Kawasan seperti Sri Medan dan Semarang mencatatkan kadar keluar mengundi melebihi 76 peratus, sekali gus menunjukkan keberkesanan jentera akar umbi UMNO dalam menggerakkan penyokong mereka ke pusat pengundian.

Pada masa sama, banyak kawasan bandar tidak mencatatkan peningkatan yang setara. Pengundi luar yang bekerja di Kuala Lumpur dan Singapura, yang lazimnya menjadi antara sumber kekuatan PH, dilihat tidak pulang mengundi dalam jumlah yang signifikan.

Tanpa naratif perubahan besar di peringkat nasional atau pertaruhan untuk menukar kerajaan pusat, daya tarikan untuk pulang mengundi tidak lagi sekuat yang pernah berlaku dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

Keadaan itu mewujudkan jurang penyertaan yang akhirnya memberi kelebihan besar kepada BN.

 

PH berdepan cabaran sebagai parti kerajaan

PRN Johor juga memperlihatkan cabaran yang sedang dihadapi PH selepas menjadi teras Kerajaan Perpaduan.

Sebelum ini, PH memperoleh banyak sokongan melalui imej sebagai gerakan reformasi dan agen perubahan. Namun dalam pilihan raya kali ini, pengundi menilai PH berdasarkan prestasinya sebagai kerajaan.

Isu kos sara hidup yang masih membelenggu rakyat, pelaksanaan rasionalisasi subsidi serta persepsi bahawa beberapa agenda reformasi bergerak lebih perlahan daripada jangkaan menjadi antara faktor yang membentuk sentimen pengundi.

Pengerahan pimpinan tertinggi PH sepanjang kempen, termasuk Pengerusinya yang juga Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri kanan, gagal menghasilkan impak politik yang diharapkan.

Sebaliknya, pilihan raya negeri ini dilihat semakin menyerupai referendum terhadap prestasi Kerajaan Persekutuan.

Dalam keadaan sebahagian rakyat masih berdepan tekanan ekonomi, sentimen tersebut memberi kesan kepada PH walaupun isu yang dipertandingkan berada di peringkat negeri.

 

Pengundi Cina memilih untuk tidak keluar mengundi

Satu lagi perkembangan penting ialah corak tingkah laku pengundi Cina.

Tiada petunjuk jelas menunjukkan mereka beralih secara besar-besaran kepada BN atau Perikatan Nasional (PN). Sebaliknya, sebahagian daripada mereka memilih untuk tidak keluar mengundi.

Fenomena ini boleh dianggap sebagai bentuk protes pasif terhadap perkembangan politik semasa.

Bagi DAP dan PH, situasi tersebut pastinya lebih membimbangkan berbanding kehilangan undi kepada parti lawan. 

Pengundi yang masih turun mengundi untuk parti lain berpotensi dipujuk kembali pada masa hadapan. Namun pengundi yang memilih untuk tidak mengundi menunjukkan tahap kekecewaan yang lebih sukar ditangani.

Kesan paling ketara dapat dilihat di kawasan bandar dan kerusi campuran yang sebelum ini menjadi kubu kuat PH seperti Johor Jaya, dan Perling sebagai contoh. 

Apabila kadar penyertaan penyokong tradisional menurun, margin kemenangan turut mengecil dan membuka ruang kepada pesaing.

Keadaan menjadi lebih mencabar dengan kemunculan Bersama yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli. Walaupun tidak muncul sebagai kuasa dominan, kehadiran parti itu dipercayai telah memecahkan sebahagian undi protes dan reformis di beberapa kerusi tertentu.

Dalam pertandingan pelbagai penjuru, perpecahan sedemikian mampu memberi kelebihan besar kepada parti yang mempunyai jentera paling tersusun.

 

Onn Hafiz dan jenama Maju Johor

Di sebalik kemenangan besar BN, peranan Onn Hafiz tidak boleh diketepikan.

Keputusan beliau membubarkan DUN lebih awal dan mempertaruhkan BN secara solo dianggap sebagai langkah berisiko. Namun setakat ini, strategi tersebut dilihat berjaya.

Sepanjang kempen, beliau menumpukan perhatian kepada isu pembangunan negeri dan pencapaian pentadbiran Johor. Naratif berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), projek RTS Link, peluang pekerjaan serta usaha menarik pelaburan asing dijadikan tema utama kempen.

Pada masa sama, beliau berjaya membina imej sebagai pemimpin yang dekat dengan rakyat melalui pendekatan turun padang dan penyelesaian masalah secara langsung.

Pendekatan itu membantu memisahkan persepsi pengundi terhadap pentadbiran Johor daripada polemik politik di peringkat nasional.

Bagi ramai pengundi, khususnya golongan muda dan kelas pertengahan bandar, pilihan raya ini dilihat lebih sebagai penilaian terhadap prestasi kerajaan negeri berbanding pertandingan antara ideologi politik.

Bagi pemimpin muda itu, walaupun beliau agak keras dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua eksekutif negeri, sehingga mungkin tidak begitu disenangi dengan segelintir pihak, akhirnya rakyat yang menghakimi keberkesanan beliau. 

 

Implikasi menuju PRU16

Jika keputusan ini kekal sehingga tamat proses pengiraan undi, impaknya dijangka melangkaui sempadan Johor.

Bagi PH, keputusan ini merupakan isyarat bahawa sokongan bandar dan bukan Melayu tidak boleh lagi dianggap sebagai asas yang kekal kukuh. 

Cabaran terbesar menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 bukan hanya untuk menarik pengundi baharu, tetapi memastikan penyokong sedia ada terus bersemangat dan mempunyai sebab untuk keluar mengundi.

Bagi BN pula, kemenangan besar ini bakal mengukuhkan keyakinan bahawa formula berasaskan prestasi pentadbiran negeri, penguasaan jentera akar umbi dan kepimpinan generasi baharu masih berkesan dalam menarik sokongan pengundi.

Dalam konteks UMNO, ia juga berpotensi meningkatkan kedudukan politik Onn Hafiz di peringkat nasional sebagai antara pemimpin muda yang berjaya membuktikan keupayaan mentadbir dan memenangi mandat besar.

Secara keseluruhan, PRN Johor 2026 mungkin akan diingati sebagai pilihan raya yang menunjukkan bahawa keupayaan menggerakkan penyokong sendiri kadangkala lebih penting daripada kemampuan memenangi hati penyokong lawan. 

Dalam era politik yang semakin matang, prestasi pentadbiran, penyampaian dasar dan keyakinan terhadap kepimpinan tempatan dilihat semakin menjadi faktor penentu dalam membuat pilihan di peti undi.

 

Must Watch Video

Advertisement