LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang sejak 26 Mei lepas ketika menjalankan aktiviti mencari sarang burung di kawasan Gua Tepadung, Batu 17, di sini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail berkata kehilangan mangsa yang berusia 61 tahun dan berasal dari Sandakan itu, bagaimanapun hanya dilaporkan kepada pihak polis pada 11.35 pagi semalam.
“Siasatan awal mendapati mangsa bersama dua rakannya telah memasuki kawasan gua berkenaan sebelum dia dipercayai terpisah daripada kumpulan tersebut kira-kira 7 malam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan maklumat diterima, kali terakhir mangsa dilihat memakai kemeja dan seluar panjang berwarna coklat serta kasut getah, selain dilaporkan membawa tali yang digunakan untuk memanjat bagi mengambil sarang burung.
Dzulbaharin berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan sejak 2 petang semalam bagi mengesan mangsa yang dipercayai masih berada di sekitar kawasan gua berkenaan.
"Operasi pencarian tersebut dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa supaya segera menghubungi pegawai penyiasat Roniey Lajius di talian 010-4631071 atau melaporkan ke balai polis berdekatan bagi membantu operasi pencarian.
-- BERNAMA