Skip to main content
Advertisement

Politik

Penubuhan parti baharu cerminan perpecahan terbuka tanpa kesatuan pembangkang - Penganalisis

Dr Abdul Muqit Muhammad -- OUM , Perang Bendera -- BERNAMA
Situasi kini menunjukkan kegagalan pembangkang dalam menguruskan perbezaan pandangan dan persediaan mentadbir negara, kata Abdul Muqit. - Gambar hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bayangan penubuhan parti baharu dalam kalangan pemimpin pembangkang mencerminkan perpecahan secara terbuka, kata Abdul Muqit Muhammad.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM), berpandangan situasi tersebut merugikan rakyat Malaysia selaku pemegang taruh terbesar dalam piliha raya.

“Situasi kini menunjukkan kegagalan pembangkang dalam menguruskan perbezaan pandangan dan persediaan mentadbir negara atau alternatif kepada kerajaan sedia ada,” katanya ketika wawancara Astro AWANI semalam.

Tambahnya, episod ketidaktentuan politik yang berlaku semasa pentadbiran terdahulu menjadi peringatan bahawa kestabilan politik penting bagi memastikan kerajaan dan pembangkang berfungsi dengan berkesan.

Untuk rekod, kerajaan pada ketika itu terbentuk hasil gabungan blok pembangkang iaitu Perikatan Nasional bersama gabungan blok parti politik yang lain bermula pada 2020 sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022.

Suasana ketika itu menyaksikan dua Perdana Menteri mengangkat sumpah dalam tempoh satu penggal iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan disusuli Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akibat keretakan sokongan dalam gabungan.

“Kekacauan politik yang berlaku ketika itu akhirnya merugikan rakyat dan menunjukkan tiada satu pengukur jelas untuk menjadi sembak dan imbang dalam memastikan politik negara stabil,” katanya.

Pada Ahad, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberi bayangan Hamzah bakal menjadi presiden parti baharu.

Wan Ahmad Fayhsal mengesahkan Hamzah turut mendapat sokongan akar umbi dan dihormati oleh kepimpinan Perikatan Nasional (PN) termasuk dalam kalangan pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (Pas).

Kini media turut menyaksikan ‘perang dingin’ antara pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas apabila Hamzah dilihat lebih disenangi dengan pemimpin Pas.

Abdul Muqit berpandangan jenama PN masih dilihat ampuh untuk berdepan pilihan raya dan tidak menyaksikan mana-mana pihak sama ada Pas atau Bersatu bakal meninggalkan gabungan itu.

Di sebalik ketidaktentuan ini, Abdul Muqit menjangkakan parti-parti politik kecil dilihat signifikan apabila keputusan pilihan raya sebelum ini menyaksikan tiada gabungan yang dapat membentuk majoriti mudah namun dilibatkan dalam membentuk kerajaan.

Beliau mengambil contoh susana Pilihan Raya Negeri Sabah pada 2025 apabila PKR duduk di barisan kerajaan negeri walaupun hanya memenangi kerusi di Dewan Undangan Negeri Melalap menerusi calon Datuk Jamawi Jaafar.

“Natijah daripada kemenangan itu sama ada satu atau dua kerusi tetap akan memberi satu peluang yang besar untuk membentuk kerajaan sedia ada,” katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement