CHICAGO: Enam orang maut dalam insiden tembakan pada Isnin di Iowa, Amerika Syarikat (AS), menurut polis, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Suspek lelaki itu turut maut akibat tembakan yang dipercayai dilepaskannya sendiri ketika berdepan anggota polis.
Siri pembunuhan itu berlaku di dua rumah dan sebuah premis perniagaan di Muscatine, menurut Jabatan Polis Muscatine dalam satu kenyataan.
Polis berkata empat mangsa ditemukan maut di dalam rumah yang sama.
Penemuan awal menunjukkan kejadian tembakan itu berpunca daripada pertikaian berkaitan rumah tangga. Semua mangsa dipercayai ahli keluarga suspek yang meninggal dunia, menurut polis.
Pihak berkuasa menerima laporan mengenai kejadian tembakan itu kira-kira 12.12 tengah hari waktu tempatan (1717 GMT), dan anggota Jabatan Polis Muscatine menemukan empat mangsa sudah meninggal dunia sebaik tiba.
Polis mengenal pasti suspek sebagai Ryan Willis McFarland, 52, dari Muscatine.
Penyiasat berkata suspek sudah meninggalkan rumah itu sebelum anggota polis tiba di lokasi.
Pihak berkuasa kemudian mengesan suspek di Riverfront Trail berhampiran sebuah jambatan pejalan kaki, sebelum lelaki itu menembak dirinya ketika berdepan polis.
Detektif kemudian menemukan maklumat yang menunjukkan kemungkinan terdapat lebih ramai mangsa.
Seorang mangsa ditemukan di sebuah rumah berasingan, manakala seorang lagi di premis perniagaan berhampiran.
Siasatan masih aktif dan diteruskan. Detektif terus memproses beberapa lokasi kejadian serta menjalankan temu bual, menurut polis.
-- BERNAMA-ANADOLU