Skip to main content

Malaysia

Lelaki hilang dalam kejadian bot karam di Sungat Gaat ditemukan lemas

Bot karam, JBPM Sarawak
Jurucakap JBPM Sarawak berkata mangsa Spielberg Dylan Sekunyir, 32, ditemukan oleh penduduk kampung yang turut membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) pada kira-kira 7.10 pagi. - Gambar JBPM Sarawak

SIBU: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya karam di Sungai Gaat, Kapit berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Balang pada Ahad ditemukan lemas pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa Spielberg Dylan Sekunyir, 32, ditemukan oleh penduduk kampung yang turut membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) pada kira-kira 7.10 pagi.

"Mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian ditemukan terapung di tebing sungai kira-kira satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat sebelum hilang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jurucakap itu berkata pasukan SAR yang tiba di lokasi kemudian membawa mayat mangsa ke jeti kampung.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 3.50 petang tadi,” katanya.

Dalam kejadian pada 6.15 petang Ahad lepas, bot yang dinaiki mangsa bersama enam lagi individu dipercayai terlanggar batu di tengah sungai sebelum karam ketika dalam perjalanan pulang ke Rumah Nading selepas menghadiri sambutan Hari Gawai di sebuah rumah panjang berhampiran.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement