KUALA LUMPUR: Dua ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempertahankan kewujudan jawatan Presiden Kehormat FAM susulan kenyataan berhubung kedudukan jawatan itu dalam cadangan statut baharu badan induk berkenaan.
Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang Mohd Azizudin Mohd Shariff mengakui terkejut dengan kenyataan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor Paul John yang dilaporkan berkata jawatan Presiden Kehormat tidak lagi relevan dan tidak diamalkan badan induk bola sepak dunia.
Beliau berkata berdasarkan cadangan statut baharu yang diedarkan kepada ahli gabungan FAM minggu lepas, jawatan Presiden Kehormat masih wujud dan dikekalkan dalam struktur organisasi badan induk itu.
“Malah, statut baharu tersebut merupakan hasil proses reformasi yang dilaksanakan dengan penglibatan serta panduan daripada AFC sendiri.
“Justeru, kenyataan bahawa jawatan tersebut akan dihapuskan adalah sesuatu yang menghairankan kerana peruntukan mengenainya masih jelas terkandung dalam draf statut yang dicadangkan untuk diluluskan oleh kongres, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azizudin berkata jawatan Presiden Kehormat wajar dikekalkan kerana ia bersifat simbolik dan dianugerahkan sebagai tanda penghormatan tertinggi kepada individu tertentu.
Jawatan Presiden Kehormat FAM ketika ini disandang Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang juga bekas Presiden FAM dari 2018 hingga 2025 selepas beliau memutuskan tidak mempertahankan jawatannya pada Kongres Pemilihan badan induk itu pada Februari tahun lepas.
Kira-kira empat bulan kemudian, Hamidin dilantik sebagai Presiden Kehormat pada Kongres Luar Biasa FAM pada Jun.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata pelantikan Hamidin sebagai Presiden Kehormat FAM telah diluluskan secara sah oleh ahli-ahli gabungan menerusi Kongres Luar Biasa FAM 2025.
Beliau berkata tanggapan bahawa jawatan tersebut akan “dibuang” adalah tidak tepat dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli gabungan serta pemegang taruh bola sepak negara.
Semalam, Windsor dilaporkan berkata AFC mencadangkan 94 artikel dalam draf statut baharu FAM 2026 yang akan dibentangkan pada Kongres Luar Biasa (EGM) badan induk itu, Khamis ini.
Menurut Windosr, AFC juga mengambil pendekatan untuk tidak memasukkan jawatan Presiden Kehormat dalam cadangan statut baharu kerana jawatan berkenaan tidak lagi relevan dalam tadbir urus bola sepak moden dan tidak diamalkan oleh badan induk bola sepak utama termasuk Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
-- BERNAMA