SHAH ALAM: Kejayaan pembangunan Johor hari ini adalah hasil kerjasama erat antara negeri itu bersama Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, tanpa kerjasama itu, banyak kejayaan yang sedang dinikmati rakyat Johor tidak mungkin menjadi kenyataan.
Menurutnya, atas sebab itu beliau yakin rakyat Johor akan membuat penilaian yang adil pada pilihan raya akan datang.
"Mereka akan melihat bukan sahaja siapa yang memerintah negeri, tetapi siapa yang membawa pelaburan, membuka peluang pekerjaan, menyelesaikan masalah rakyat dan mempunyai kemampuan untuk membawa lebih banyak pembangunan ke Johor.
"Kita perlu bercakap dengan jujur. Jika bukan kerana sokongan dan komitmen Kerajaan Persekutuan mustahil Johor mampu muncul sebagai negeri yang merekodkan pelaburan tertinggi di Malaysia, menjadi tumpuan pelabur global membawa pelaburan bernilai lebih RM110 bilion dan mampu menjadi destinasi utama pelaburan berteknologi tinggi di rantau ini.
"Rakyat Johor juga perlu bertanya kepada diri sendiri, siapakah yang menggerakkan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) sehingga berjaya mendapat perhatian dunia? Begitu juga dengan isu kesesakan di Tambak Johor dan hari ini projek RTS sedang dibangunkan bagi menyelesaikan masalah tersebut.
"Jadi, semua ini berlaku kerana Johor mendapat manfaat daripada sebuah Kerajaan Persekutuan yang stabil, mesra pelaburan dan berwibawa," ujarnya menerusi laman Facebook pada Selasa.
Tambah Danish, apabila bercakap mengenai projek tebatan banjir, rakyat juga perlu tahu bahawa sebahagian besar projek tersebut memerlukan peruntukan dan kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan.
Jelasnya, ketika rakyat Johor memerlukan penyelesaian kepada masalah banjir, Kerajaan Madani tampil membantu sepertimana membuka pintu kepada pelabur dunia.
"Selain itu, hubungan ekonomi yang lebih kukuh antara Johor dan Singapura dapat direalisasikan dengan bantuan Kerajaan Madani apabila berjaya memimpin rundingan bagi kedua-dua pihak.
"Sebab itu saya ingin tegaskan bahawa rakyat Johor tidak boleh melihat pembangunan yang berlaku hari ini secara terpisah daripada peranan Kerajaan Persekutuan.
"Setiap kejayaan besar Johor hari ini mempunyai satu persamaan yang jelas iaitu wujudnya kerjasama erat dengan Kerajaan Madani," ulasnya. -Sinar Harian