DUNGUN: “Arwah masih bersedih selepas kehilangan ayahnya dua minggu lepas, namun tidak sangka dia pula pergi meninggalkan kami hari ini,” kata Nor Haida Dolah, 54, ibu saudara kepada Mohd Aiman Mohd Rashid, 36, yang maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Simpang Renggam, Johor semalam.
Nor Haida berkata kesedihan mereka sekeluarga belum lagi reda selepas pemergian ayah Mohd Aiman dua minggu lepas akibat kanser usus dan semalam menerima pula berita yang lebih memilukan.
"Bukan sahaja Mohd Aiman malah isteri, ibu mentua dan anak saudaranya turut meninggal dunia dalam kemalangan tersebut, " katanya ketika ditemui di Taman Sejati, Bandar Al-Muktafil Billah Shah (AMBS) di sini semalam.
Selain Mohd Aiman, turut maut dalam kemalangan pada 1 tengah hari itu, isterinya Nor Azlina Abd Latif, 33, da ibu Nor Azlina, Semek Mat Soh, 73, serta anak saudara Mohd Aiman, Nur Airish Syifa Sidek,10.
Nor Haida berkata anak saudaranya itu, yang tinggal dan bekerja di Ladang Kelapa Sawit Felda Ulu Sedili, Johor, dipercayai ketika kemalangan dalam perjalanan pulang menghadiri majlis kenduri keluarga terdekat di Telok Emas, Melaka.
Wanita itu berkata Mohd Aiman merupakan seorang anak yang mengambil berat terhadap kebajikan arwah ayah, Mohd Rashid Dolah, 59, dan ibunya, Fauziah Abdullah, 59, serta ibu mentuanya yang uzur.
“Saya juga baru bertemu dengan Mohd Aiman dan isteri serta ibu mentuanya ketika mereka pulang ke kampung pada Aidiladha Rabu lepas. Tiada perubahan yang ketara kerana mereka selama ini memang mesra dengan keluarga,” katanya.
Nor Haida berkata pasangan tersebut, yang berkahwin pada 2017 dan belum dikurniakan cahaya mata, pulang ke Ulu Sedili pada Khamis lepas dengan membawa bersama Nur Airish Syifa dan dijangka balik semula ke Dungun pada Sabtu depan kerana kanak-kanak itu mula bersekolah pada Ahad.
Nor Haida berkata dia mengetahui kemalangan yang menimpa Mohd Aiman daripada ahli keluarga terdekat pada 1.30 tengah hari, sebelum memaklumkan kepada ibu bapa Nur Airish Syifa iaitu Sidek Abdul Hamid, 42, dan Nurul Ain Mohd Rashid, 38, serta ahli keluarga lain.
"Ibu Mohd Aiman, Fauziah bersama-sama Sidek serta Nurul Ain kemudian bertolak ke Hospital Enche' Besar Hajah Khalsom, Kluang, Johor pada 2.30 petang untuk urusan membawa pulang jenazah ke sini," katanya.
-- BERNAMA