KOTA KINABALU: Peningkatan bayaran geran khas interim Sabah kepada RM1.5 bilion setahun mencerminkan hasil hubungan erat serta rundingan berterusan antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkukuh pembangunan di negeri ini.
Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut dilihat sebagai petunjuk bahawa pendekatan rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mampu menghasilkan manfaat yang lebih ketara kepada rakyat.
Menilai perkembangan itu, Ahli Ekonomi Dr Awang Faisal Assyiffa berkata prestasi sesebuah pentadbiran perlu diukur berdasarkan hasil nyata yang boleh dibuktikan melalui data dan pencapaian konkrit, bukannya sekadar terpengaruh dengan retorik politik atau polemik semasa.
Beliau yang juga Ketua Eksekutif Cyberjaya College Kota Kinabalu berkata rekod sepanjang enam tahun kebelakangan ini menunjukkan Geran Khas Sabah meningkat hampir 28 kali ganda iaitu daripada RM53.4 juta setahun hingga 2020 kepada RM1.5 bilion setahun pada 2026.
“Pencapaian ini dianggap antara kejayaan fiskal signifikan dalam sejarah moden Sabah, yang akan mewujudkan ruang fiskal lebih besar untuk membiayai pembangunan infrastruktur, meningkatkan mutu pendidikan, perkhidmatan kesihatan serta memperluas jaringan utiliti negeri," katanya kepada Bernama.
Sabtu lepas, Anwar ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Penampang mengumumkan kenaikan geran khas interim bagi Sabah itu sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri dimuktamadkan.
Awang Faisal berkata peningkatan geran itu turut memberi konteks kepada pujian Perdana Menteri terhadap gaya kepimpinan Hajiji yang lebih menumpukan kepada tindakan dan hasil.
"Sinergi erat ini membuktikan bahawa tindakan Hajiji yang fokus kepada rundingan secara senyap amat dihormati oleh Perdana Menteri, sekali gus menterjemahkan persefahaman politik yang tinggi antara kedua-dua pemimpin demi kepentingan Sabah," katanya.
Sementara itu, pemimpin tempatan Datuk Jerry Ambuting Mohd Said berkata lonjakan bayaran geran khas interim itu membuktikan kerajaan Persekutuan mempunyai kesungguhan politik untuk bersama kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu berkaitan hak negeri secara adil dan bertanggungjawab.
"Peningkatan ini amat bermakna dalam memperkukuh kedudukan kewangan negeri serta mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan infrastruktur kritikal seperti bekalan air bersih, jalan raya, jambatan, pendidikan dan kesihatan," katanya.
Bekas Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Sabah itu, berkata pendirian Hajiji yang mengutamakan kerjasama konstruktif dengan Putrajaya berbanding konfrontasi menunjukkan hubungan baik antara kedua-dua pihak mampu membawa manfaat jangka panjang kepada Sabah.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata penambahan dana fiskal tersebut dijangka memberi dorongan besar kepada pembangunan sektor pertanian dan agromakanan di seluruh negeri.
Beliau berkata peruntukan tambahan interim itu membuka ruang yang lebih luas untuk membiayai pelbagai projek kritikal sektor berkenaan termasuk peningkatan kemudahan sistem pengairan, penyediaan infrastruktur pertanian luar bandar serta penyediaan teknologi moden dan latihan bagi meningkatkan produktiviti.
"Sektor agromakanan antara pemacu utama ekonomi Sabah, dan sokongan berterusan ini amat diperlukan bagi meningkatkan hasil pengeluaran, memperkasa usahawan tani serta melonjakkan pendapatan komuniti peladang di kawasan luar bandar," katanya.
Beliau menambah langkah memperkukuh dana tersebut melalui hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi tempatan, malah menjadi pemangkin dalam menjamin agenda keselamatan serta keterjaminan bekalan makanan negara.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor Yazid Mohd Hasnan Tawik@Charles berkata geran khas interim RM1.5 bilion itu membawa harapan baharu kepada masyarakat pedalaman bagi merapatkan jurang pembangunan serta memastikan kemakmuran yang lebih seimbang di peringkat akar umbi.
Beliau berkata limpahan peruntukan hasil hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri itu wajar disalurkan bagi mempercepatkan projek utiliti serta infrastruktur asas luar bandar yang amat diperlukan, terutama jaringan jalan raya, jambatan dan penyediaan bekalan air bersih.
"Rakyat di kawasan pedalaman amat mengharapkan hasil rundingan ini diterjemahkan dengan segera kepada pembangunan fizikal yang pesat dan perluasan peluang ekonomi tempatan demi meningkatkan taraf hidup serta kebajikan masyarakat marhaen," katanya.
Yazid turut melahirkan keyakinan bahawa momentum hubungan baik yang dizahirkan sempena Pesta Kaamatan itu akan terus membantu memperkukuh rundingan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata usaha berterusan itu penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat terus dinikmati rakyat Sabah.
-- BERNAMA