Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Polis kenal pasti lelaki warga China disyaki penganjur pesta songsang, dadah

Shah Alam ,19 February 2026. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Hussein Omar Khan pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Polis IPK Selangor.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Hussein (foto) berkata siasatan awal juga mendapati dadah yang dirampas dalam serbuan itu dipercayai untuk kegunaan sendiri dan digunakan bersama individu yang menghadiri pesta berkenaan tanpa sebarang unsur pengedaran. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga China yang ditahan dalam serbuan di sebuah pesta, yang dikaitkan dengan aktiviti songsang dan penyalahgunaan dadah di hotel mewah di ibu negara bulan lepas dikenal pasti sebagai penganjur acara berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan turut mendapati acara berkenaan dipromosikan menerusi platform Instagram.

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati dadah yang dirampas dalam serbuan itu dipercayai untuk kegunaan sendiri dan digunakan bersama individu yang menghadiri pesta berkenaan tanpa sebarang unsur pengedaran.

"Bagaimanapun, risikan masih diteruskan bagi mengesan punca bekalan dadah tersebut," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Hussein berkata pihak polis masih menunggu laporan rasmi hospital berhubung punca kematian seorang lelaki yang ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) semasa operasi berkenaan.

Beliau berkata daripada 51 individu yang ditahan dalam serbuan itu, 17 telah didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, seorang mengikut Seksyen 39A(1), dan 33 lagi mengikut Seksyen 12(2) akta sama.

Lelaki warga China yang dipercayai menjadi penganjur pesta itu pula telah didakwa mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Pada 24 Mei lepas, polis menahan 51 lelaki dalam empat siri serbuan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM103,070.

Dalam operasi itu, polis turut mengesan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam pesta berkenaan yang diusung keluar dari lobi hotel dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia selepas tiba di HKL.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement