TAPAH: Keadaan awan berkelompok, tiupan angin kuat dan ruang yang sempit dikelilingi pokok tebal antara cabaran operasi udara dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih di sini.
Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata operasi yang digerakkan menggunakan pesawat buatan Rusia, MI-17 dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu semalam melibatkan proses 'winching'.
Beliau berkata proses menurun dan menaikkan anggota penyelamat menggunakan kabel secara keseluruhannya melibatkan 32 anggota pasukan penyelamat di kawasan Kem Sukaneka.
"Cuaca pagi ini baik, tetapi awan berkelompok dan angin kuat. Setelah sampai ke puncak untuk winching sahaja melibatkan 32 orang.
"Cabaran agak sukar apabila kita winching di kawasan yang agak terhad dan kelilingnya pokok. Itu menyebabkan kadang-kadang kita rasa winching itu ‘disepak’ oleh angin, kapal sukar untuk dikendalikan," katanya.
Mohd Hasrizal berkata demikian kepada pemberita di Pusat Kawalan Hadapan (PKH) operasi mencari dan menyelamat (Ops SAR) Gunung Batu Putih JBPM di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor dekat sini, semalam.
Justeru, beliau menekankan kepentingan melaksanakan proses menurunkan dan menaikkan anggota penyelamat secara pantas dengan memanfaatkan kepakaran anggota.
Beliau berkata langkah itu kritikal bagi mengelakkan sebarang kegagalan mekanikal atau masalah teknikal (tersangkut) akibat peningkatan suhu pada sistem hoist.
"Teknik winching atau penggunaan sistem hoist yang beroperasi terlalu lama boleh menyebabkan peralatan tersebut mengalami peningkatan suhu yang ekstrem.
"Keadaan ini berisiko mengakibatkan gangguan mekanikal atau sistem tersangkut. Oleh itu, pemeriksaan berkala dan pemantauan rapi terhadap peralatan tersebut amat diperlukan," katanya.
Mempunyai pengalaman selama 20 tahun sebagai juruterbang dan pembantu juruterbang JBPM, Mohd Hasrizal sebelum ini pernah mengendalikan pesawat bagi misi SAR di Gunung Yong Yap pada 2023, serta tiga operasi menyelamat di Gunung Tahan, Pahang.
Sebelum ini, pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada, 24 Mei (7.30 pagi).
-- BERNAMA