WASHINGTON: Hezbollah bersetuju dengan cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan serangan secara timbal balik dengan Israel, menurut Kedutaan Lubnan di Washington dalam satu kenyataan pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut kenyataan itu, selepas perbualan antara Presiden Lubnan Joseph Aoun dan Setiausaha Negara AS Marco Rubio, pihak berkuasa Lubnan menerima pengesahan bahawa Hezbollah telah bersetuju dengan cadangan yang disokong AS itu.
Di bawah perjanjian berkenaan, serangan Israel di pinggir selatan Beirut akan dihentikan sebagai balasan kepada tindakan Hezbollah yang tidak melancarkan serangan terhadap Israel.
Gencatan senjata itu kemudiannya akan diperluas ke seluruh wilayah Lubnan, menurut kenyataan itu.
Pusingan baharu rundingan dengan pengantaraan AS antara wakil Lubnan dan Israel dijadual berlangsung pada Selasa dan Rabu bagi memperkukuh perkembangan itu.
Kenyataan kedutaan itu dikeluarkan selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan pada Isnin bahawa Israel dan Hezbollah telah mencapai persefahaman untuk menghentikan serangan terhadap satu sama lain.
-- BERNAMA-ANADOLU