KOTA TINGGI: Keputusan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai langkah tepat pada waktunya berikutan tiada tempoh yang benar-benar 'sempurna' untuk mengembalikan semula mandat kepada rakyat susulan kalendar tahunan negeri yang sentiasa padat.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perancangan jadual pilihan raya di negeri itu perlu mengambil kira kekangan cuaca serta musim perayaan yang panjang.
“(Dewan Undangan Negeri) Johor hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi tahun ini. Menjelang November, Disember dan Januari, kita bakal berdepan musim monsun dan banjir, khususnya di kawasan seperti Kota Tinggi.
“Seterusnya, Februari dan Mac pula bertembung dengan sambutan Hari Raya. Di Johor, musim perayaan ini biasanya berlangsung agak panjang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada program Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi Kota Tinggi di Terminal Bas dan Teksi Kota Tinggi, hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata sekiranya kerajaan negeri melihat tempoh semasa adalah yang terbaik, maka ruang itu harus diberikan sepenuhnya untuk rakyat membuat keputusan.
Mengenai persediaan jentera, beliau berkata prestasi penyandang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) telah berkhidmat dengan cemerlang, selain menyifatkan UMNO sentiasa bekerja menjaga kebajikan masyarakat tanpa mengira musim pilihan raya.
Mengulas mengenai impak PRN Johor terhadap dinamika Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan, Mohamed Khaled menegaskan hubungan kerjasama antara parti-parti komponen masih utuh dan berjalan seperti biasa.
Beliau berkata semua pihak perlu menerima hakikat bahawa landskap politik negara sudah berubah dan era dominasi tunggal oleh satu-satu parti politik telah berakhir.
“Realiti hari ini berbeza. Tidak mungkin ada lagi mana-mana parti yang akan mendominasi politik secara sendirian. Kita dapat lihat model pentadbiran yang pelbagai di seluruh negara, pada peringkat pusat komposisinya begini, manakala di negeri pula berbeza,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata adalah penting untuk rakyat Malaysia membina budaya politik matang yang menerima konsep kerjasama demi masa depan negara.
Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa 1 Jun selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
-- BERNAMA