ALOR GAJAH: Seorang pelajar Tingkatan Dua yang menunggang motosikal Yamaha LC maut digilis lori tangki di Jalan Sungai Siput, Lubok China di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 1.48 petang itu, mangsa, Muhammad Muiszudin Mohamad Yusof, 14, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada seluruh badan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Sungai Siput Batu Alang menuju ke Lubok China.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang kanan sebuah Perodua Viva yang berada di hadapannya.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah lori tangki yang sedang bergerak dari arah Lubok China menuju ke Simpang Ampat.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta berusia 32 tahun dan pemandu lori tangki berusia 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Tambahnya, ketiga-tiga kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut di PUSPAKOM Rembia.
“Polis turut memperoleh rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang dipercayai merakam kejadian tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Loh Gia Xao atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Sinar Harian