Skip to main content

Dunia

Perbelanjaan perubatan warga asing catat rekod tertinggi baharu pada Mei di Korea Selatan

81718082556_facemask.jpg
Peningkatan itu selari dengan populariti produk farmaseutikal Korea Selatan yang semakin meningkat serta permintaan terhadap perkhidmatan berkaitan kesihatan dan kecantikan. - Gambar hiasan

SEOUL: Jumlah perbelanjaan perubatan oleh pelancong asing di Korea Selatan pada Mei mencatat paras tertinggi baharu, lapor Agensi Berita Yonhap memetik data pada Ahad.

Peningkatan itu selari dengan populariti produk farmaseutikal Korea Selatan yang semakin meningkat serta permintaan terhadap perkhidmatan berkaitan kesihatan dan kecantikan.

Menurut data yang dikumpulkan oleh Pertubuhan Pelancongan Korea, warga asing membelanjakan keseluruhan 251.1 bilion won (US$165.2 juta) bagi perkhidmatan perubatan pada Mei, meningkat 0.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Anggaran itu berdasarkan perbelanjaan pelancong asing menggunakan kad Shinhan Card Co., menurut pertubuhan itu.

Jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding 109.6 bilion won pada Februari dan 204.4 bilion won pada Mac.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 57.8 peratus dibelanjakan di klinik dermatologi, diikuti kemudahan pembedahan plastik dan farmasi masing-masing sebanyak 18 peratus dan 12.9 peratus.

Pemerhati industri turut berkata permintaan yang semakin meningkat terhadap produk farmaseutikal, yang hanya menyumbang 4.9 peratus pada Januari tahun lepas, menjadi antara faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan.

Mengikut kewarganegaraan, pelawat dari China mencatat perbelanjaan tertinggi sebanyak 63.6 bilion won, diikuti Amerika Syarikat (AS) sebanyak 46.2 bilion won dan Jepun 32.9 bilion won.

“Kami merancang mempelbagaikan projek pemasaran memandangkan corak pembelian dalam sektor perubatan berbeza mengikut negara asal,” kata seorang pegawai pertubuhan itu sambil menambah pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan wilayah bagi mengagihkan permintaan ke pelbagai kawasan.

-- BERNAMA-YONHAP

 

 

Must Watch Video

Advertisement