Skip to main content

Malaysia

"Kempen terancang untuk memfitnah saya" - Rosmah lapor polis, nafi dakwaan tular pemilikan harta AS$13 juta

[TB]_Rosmah Mansor_SINAR
Penerbitan dan penyebaran dakwaan-dakwaan ini jelas merupakan perbuatan fitnah serta pembohongan berniat jahat, ujar Rosmah. - Gambar fail/Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor telah membuat laporan polis berhubung dakwaan yang tular di media sosial melibatkan diri dan ahli keluarganya.

Beliau yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa kandungan yang disebarkan menerusi beberapa video di platform media sosial itu adalah palsu, berniat jahat dan berunsur fitnah.

"Dakwaan tersebut tidak disokong walau sedikit pun oleh bukti yang boleh dipercayai dan tidak lebih daripada satu kempen terancang serta disengajakan untuk memfitnah saya dan menjatuhkan maruah keluarga saya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rosmah berkata laporan tersebut dibuat pada hari ini bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap individu, pihak berkaitan dan akaun yang bertanggungjawab menghasilkan serta menyebarkan kandungan berkenaan.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan yang mengaitkannya dengan pembelian, pembiayaan, pemindahan atau pemilikan hartanah mewah termasuk sebuah hartanah yang didakwa bernilai AS$13 juta (kira-kira RM55 juta).

Beliau juga menegaskan tidak pernah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam sebarang urusan berkaitan hartanah tersebut bagi pihak menantunya atau mana-mana individu atau entiti lain.

Menurut Rosmah, dakwaan yang mengaitkannya dengan penggunaan shell company (syarikat proksi), struktur kewangan luar pesisir serta beberapa individu dan entiti yang dinamakan dalam video berkenaan adalah tidak berasas, palsu dan direka dengan niat jahat.

"Saya menafikan setiap satu daripada dakwaan tersebut secara keseluruhan. Pada bila-bila masa saya tidak pernah terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam pembelian, pembiayaan, pemindahan atau pemilikan mana-mana hartanah mewah," katanya.

Pada masa sama, Rosmah menggesa pengendali platform media sosial mengambil tindakan segera untuk memadam, menyekat dan menghalang penyebaran lanjut bahan yang disifatkannya sebagai palsu dan berunsur fitnah.

Beliau turut memaklumkan bahawa semua haknya di sisi undang-undang adalah terpelihara, termasuk hak untuk memulakan tindakan sivil dan meneruskan prosiding jenayah terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan, berkongsi atau terus menyebarkan dakwaan tersebut.

Rosmah turut menyeru orang ramai serta media supaya tidak menyebarkan kandungan yang tidak disahkan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut proses undang-undang.

Must Watch Video

Advertisement