Skip to main content

Politik

Pengumuman Hadi Awang tidak hormat prinsip muafakat dalam PN - Tun Faisal

SINAR HARIAN
Menurut Tun Faisal (kiri) pengumuman Hadi Awang bertentangan dengan Perlembagaan PN apabila Presiden parti anggota boleh bertindak bertentangan dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi PN. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang didakwa telah melanggar keputusan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) apabila mengumumkan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang, kata Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpandangan Pas bertindak secara unilateral apabila mengumumkan Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang diterajui Datuk Seri Hamzah Zainudin akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

“Kedua-dua pengumuman ini bukan sahaja tidak menghormati prinsip permuafakatan dan musyawarah dalam PN selama ini.

“Malah adalah bertentangan dengan Perlembagaan PN apabila Presiden parti anggota boleh bertindak bertentangan dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi PN,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Tun Faisal lagi,  Fasal 8.1 Perlembagaan PN memperuntukkan bahawa segala urusan gabungan itu ditadbir oleh Majlis Tertinggi yang berfungsi sebagai badan tertinggi PN.

Tambahnya, Fasal 8.3(1)(d) pula menetapkan Pengerusi hanya bertanggungjawab menyelia dan melaksanakan hala tuju serta dasar yang telah dipersetujui Majlis Tertinggi.

Manakala Fasal 8.4(1) memberi kuasa kepada Majlis Tertinggi untuk menetapkan hala tuju dan dasar PN.

Semalam, Hadi Awang dilaporkan berkata Wawasan akan menggunakan logo PN untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Beliau turut menyatakan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dan bekas Timbalan Presiden Bersatu akan kembali menggalas tugas sebagai Ketua Pembangkang.

Pada 12 April lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa hari penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 27 Jun, manakala pengundian akan berlangsung pada 11 Julai.

Bagi PRN Negeri Sembilan pula, proses penamaan calon dijadualkan pada 18 Julai sebelum pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada 1 Ogos.

Must Watch Video

Advertisement