VIENNA: Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk melaksanakan program tenaga nuklear, memandangkan negara telah membina tradisi yang lama serta kepakaran dalam teknologi nuklear, kata Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Mariano Grossi.
Beliau berkata pengalaman Malaysia dalam mengendalikan reaktor penyelidikan telah menyediakan asas yang kukuh untuk negara memajukan cita-cita tenaga nuklearnya sebagai sebahagian daripada campuran tenaga masa hadapan.
“Kami telah bekerjasama dengan negara anda, dan terdapat minat mendalam yang dinyatakan kepada kami oleh pihak kerajaan untuk meneroka secara lebih sistematik kemungkinan mengakses tenaga nuklear,” katanya pada sidang media bersama wartawan yang menyertai Seminar Wartawan IAEA yang diadakan di sini.
Grossi berkata mempunyai reaktor penyelidikan "pastinya merupakan asas yang sangat baik dan kukuh" bagi Malaysia, kerana ia juga bermakna negara itu sudah mempunyai tenaga pakar yang biasa dengan teknologi nuklear dan operasi reaktor.
“Terdapat ramai orang di Malaysia yang tahu tentang teknologi nuklear dan tahu apa itu reaktor nuklear,” tambahnya.
Malaysia mengendalikan Reaktor TRIGA PUSPATI, satu-satunya reaktor penyelidikan nuklear negara, yang mula beroperasi pada 1982 dan mencapai kritikaliti pertama pada 28 Jun tahun yang sama.
Terletak di Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) di Bangi, Selangor, reaktor berkenaan telah digunakan untuk latihan, penyelidikan, pengeluaran isotop dan aplikasi saintifik yang lain.
Malaysia telah aktif meneroka potensi membangunkan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada strategi untuk mempelbagaikan campuran tenaganya, memastikan bekalan elektrik yang bersih dan boleh dipercayai, serta memperkukuh agenda keselamatan tenaga negara.
Cita-cita itu turut digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) (2026-2030), yang mengenal pasti tenaga nuklear sebagai sumber elektrik bersih yang berdaya maju dalam campuran tenaga nasional, dengan pelaksanaan dijangka bermula menjelang 2031.
Langkah itu dibuat di tengah-tengah permintaan elektrik yang semakin meningkat, keperluan untuk mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil, dan komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih-sifar menjelang 2050 serta krisis tenaga semasa yang berpunca daripada konflik Asia Barat.
Menurut IAEA, setakat Januari 2026, kira-kira 70 negara baharu di Afrika, Amerika Latin dan Asia, sedang melaksanakan atau meneroka tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan nasional mereka.
Malaysia adalah antara 28 negara yang kini berada dalam fasa membuat keputusan, di mana kerajaan sedang menilai kebolehlaksanaan untuk memulakan program tenaga nuklear.
Grossi berkata IAEA menyediakan bantuan kepada negara-negara yang memulakan program tenaga nuklear, termasuk membantu mereka membangunkan kapasiti yang diperlukan dan menubuhkan badan kawal selia nuklear kebangsaan.
Beliau berkata Pendekatan Milestones IAEA, yang ditubuhkan sejak 2007, membolehkan sesebuah negara membangunkan program nuklear mereka secara teratur dan sistematik dengan memanfaatkan lebih 70 tahun pengalaman global dalam operasi tenaga nuklear komersial.
Rangka kerja tiga fasa itu memberi panduan kepada negara baharu yang terlibat dalam membangunkan infrastruktur perundangan, kawal selia dan institusi yang diperlukan untuk penggunaan tenaga nuklear yang selamat, terjamin dan mampan selaras dengan piawaian IAEA.
Grossi menambah bahawa tiada pendekatan "satu ukuran untuk semua" bagi negara yang meneroka tenaga nuklear, dengan IAEA menyediakan nasihat bebas dan saksama mengikut ciri serta keperluan setiap negara.
Ini termasuk membantu kerajaan dalam menilai teknologi reaktor dan cadangan vendor bagi memastikan teknologi yang dipilih sepadan dengan kapasiti grid nasional, keupayaan rantaian bekalan dan objektif pembangunan jangka panjang.
“Nuklear adalah perkahwinan seumur hidup. Loji tenaga nuklear beroperasi selama hampir satu ratus tahun. Jadi ini bermakna akan ada beberapa generasi yang akan mendapat manfaat daripadanya, bekerja di sekitarnya dan sebagainya.
“Oleh itu, ia adalah satu keputusan yang sangat besar kesannya,” katanya sambil menyifatkan bahawa membuat keputusan untuk menerima pakai tenaga nuklear merupakan komitmen nasional jangka panjang yang mempunyai kepentingan strategik yang berterusan.
-- BERNAMA