KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang percaya sukan berbasikal Malaysia mungkin akan menempuh laluan berliku sekiranya Pengarah Teknikal Program Berbasikal Negara John Beasley memutuskan untuk melepaskan jawatan.
Menggambarkan Beasley sebagai penggerak utama di sebalik transformasi negara sehingga menjadi kuasa berbasikal bertaraf dunia, Azizulhasni berkata Malaysia akan berdepan cabaran besar untuk mencari individu yang mampu menandingi kepakaran dan komitmen jurulatih veteran itu.
“Malaysia akan berdepan cabaran besar untuk mencari jurulatih lain seperti John. Beliau bukan sahaja cemerlang dalam kejurulatihan, perancangan dan pembangunan atlet, tetapi juga membawa pendekatan mesra dan berteraskan kekeluargaan yang telah meraih rasa hormat serta kepercayaan ramai pelumba,” katanya dalam hantaran di Instagram hari ini.
Semalam, dilaporkan bahawa Beasley dijangka meninggalkan jawatannya pada penghujung tahun ini walaupun kontrak semasanya berakhir pada 31 Jan tahun depan, selepas semakin kecewa dengan isu politik, kerenah birokrasi serta kekurangan infrastruktur akar umbi dalam sukan berbasikal Malaysia.
Pelumba yang dikenali sebagai “The Pocket Rocketman" itu berkata komitmen Beasley terhadap Malaysia selama ini tidak seharusnya dipandang mudah.
Pemenang dua pingat Olimpik itu berkata jurulatih dari Australia tersebut telah mengorbankan peluang peribadi dan profesional di tempat lain demi terus kekal bersama program kebangsaan.
“Sejak sekian lama, beliau menerima tawaran dari negara lain, namun tetap setia bersama Malaysia. Malah, beliau sanggup meninggalkan perniagaan basikal keluarganya di Melbourne yang telah beroperasi lebih 100 tahun kerana mahu memberi tumpuan kepada pembangunan sukan berbasikal di Malaysia.
“Selepas banyak mencurahkan tenaga dan komitmen terhadap program ini, adalah wajar beliau berasa kecewa apabila perkara tidak berjalan seperti dirancang,” katanya.
Bekas juara dunia keirin lelaki itu berkata berbasikal Malaysia berisiko kehilangan lebih daripada sekadar kepakaran teknikal sekiranya Beasley memutuskan untuk berundur.
“Jika beliau meninggalkan pasukan, sukan berbasikal Malaysia bukan sekadar kehilangan seorang jurulatih, tetapi juga kehilangan pemimpin yang memainkan peranan besar dalam meletakkan negara kita di pentas dunia. Selamat maju jaya kepada mereka yang merasakan mampu melakukan lebih baik,” katanya.
Selain Azizulhasni, Beasley yang mengambil peranan sebagai jurulatih berbasikal trek negara pada 1 Jan 2006 turut membimbing dan menyaksikan kemunculan beberapa pelumba seperti Josiah Ng, Rizal Tisin, Fatehah Mustapa, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
-- BERNAMA