KUALA LUMPUR: Liga Dunia Muslim (MWL) terus memperteguh komitmen untuk menyatukan suara umat Islam di peringkat global, terutamanya dalam menangani isu bersama yang memerlukan kesepakatan utuh.
Setiausaha Agungnya, Sheikh Mohammad Abdul Kareem Al-Issa berkata, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, MWL memainkan peranan penting dalam merangkul penglibatan ulama, pemikir, dan golongan belia bagi meningkatkan kesedaran serta melindungi pemikiran umat Islam.
Beliau menjelaskan bahawa usaha tersebut dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi dunia Islam dan juga negara-negara yang mempunyai komuniti minoriti Muslim.
"Matlamat utama MWL adalah untuk menyatukan suara ummah dalam isu-isu yang memerlukan kata sepakat. Ini dicapai menerusi perbincangan topik-topik yang menjadi kepakaran para ulama.
"Melalui peranan global para ulama yang menganggotai MWL, kami bertekad untuk mempertingkatkan kesedaran Islam dan melindungi pemikiran belia khususnya daripada pengaruh yang tidak sihat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai pencapaian dan matlamat utama MWL pada Persidangan Ulama Asia Tenggara edisi ke-4 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai cabaran imej Islam di persada dunia, Mohammad Abdul Kareem menegaskan MWL memikul tanggungjawab besar untuk memperjelaskan hakikat sebenar agama Islam bagi menangkis pelbagai salah faham dan persepsi terpesong.
Menurutnya, kebanyakan salah faham yang timbul adalah berpunca daripada kejahilan atau sikap prejudis pihak tertentu.
"Kami menangani perkara ini dengan penuh hikmah. MWL telah berhadapan dengan pelbagai tanggapan salah ini dan memberikan penjelasan menerusi pelbagai platform digital, siri ceramah di universiti terkemuka di Timur dan Barat, serta melalui pusat penyelidikan dan kajian," katanya.
Beliau turut menyerlahkan peranan penting ulama MWL dalam menghasilkan dokumen bersejarah seperti 'Piagam Mekah' (Charter of Makkah) dan dokumen 'Membina Jambatan Antara Mazhab Islam'.
Jelasnya, Piagam Mekah kini telah disyorkan untuk dimanfaatkan oleh negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam institusi keagamaan, pendidikan dan kebudayaan masing-masing.
Selain aspek intelektual dan keagamaan, Mohammad Abdul Kareem berkata MWL juga aktif dalam misi kemanusiaan di seluruh dunia tanpa sebarang diskriminasi.
"Satu lagi matlamat utama kami adalah kerja kemanusiaan global. Dalam memberikan perkhidmatan ini, MWL tidak membezakan penerima bantuan berdasarkan agama, bangsa atau faktor-faktor lain," tambah beliau.