Skip to main content

Malaysia

'Jumpa di Kulai' - Anthony Loke jamin surat jemputan akan sampai kepada Onn Hafiz

Onn Hafiz Anthony Loke_BERNAMA
Anthony berkata beliau memahami kesibukan Menteri Besar Johor ketika musim pilihan raya.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MoT) akan mengemukakan surat jemputan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi menghadiri majlis pelancaran perkhidmatan KTM Komuter Selatan, dalam masa terdekat.

Menterinya, Anthony Loke berkata majlis perasmian KTM Komuter yang akan beroperasi menggunakan set tren sedia ada bagi laluan Kulai ke Johor Bahru itu akan berlangsung Selasa depan.

“Surat jemputan akan sampai dalam kadar segera, jumpa nanti Selasa di Kulai ya… pihak kami (MoT) juga akan jemput Menteri Besar untuk beri sedikit ucapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Onn Hafiz semalam mendakwa, sehingga kini masih belum menerima sebarang surat jemputan rasmi atau butiran lanjut daripada MoT terhadap majlis pelancaran tersebut.

Beliau berkata hanya dimaklumkan mengenai jemputan tersebut menerusi laporan media yang memetik kenyataan Anthony sewaktu berucap di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya (PH) Negeri Sembilan, pada Jumaat.

Pada masa sama Anthony turut menyatakan penghargaan kepada Onn Hafiz atas kesudiannya untuk menerima jemputannya untuk menaiki KTM Komuter Selatan sebelum ini.

Anthony turut mengimbau beberapa majlis melibatkan MoT yang turut dihadiri sendiri oleh Onn Hafiz.

Menurutnya, antara program berkenaan ialah majlis RTS Link yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada Januari 2024, selain majlis menerima ketibaan tren pertama RTS Link di Singapura pada Jun 2025.

Beliau berkata Onn Hafiz turut menghadiri pelancaran khas ETS3 serta perasmian Stesen KTM Kluang oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Ogos 2025, selain majlis penyempurnaan Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru dan pelancaran perkhidmatan ETS ke Johor Bahru pada Disember tahun sama.

Selain itu, Anthony berkata Onn Hafiz turut menghadiri Majlis Penyempurnaan Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru serta pelancaran perkhidmatan ETS ke Johor Bahru pada 11 Disember 2025.

Namun, Anthony berkata tiada wakil Kerajaan Negeri Johor hadir pada Majlis Peluncuran Program MyLesenB2 untuk pelajar sekolah di Johor Bahru pada 11 Mei 2026, meskipun jemputan telah dikemukakan lebih awal.

Namun menurutnya, terdapat juga beberapa program dan majlis anjuran Kementerian Pengangkutan yang dihadiri oleh wakil Menteri Besar serta Kerajaan Negeri Johor.

Antaranya Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Pembinaan Kluang Heritage Railway Linear Park pada September 2023, lawatan kerja ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Abu Bakar (KSAB) pada Januari 2024 serta majlis pembukaan semula landasan Pasir Gudang-Kempas Baru pada Mei 2025.

Bagaimanapun, Anthony berkata beliau memahami kesibukan Menteri Besar Johor ketika musim pilihan raya dan tidak menolak kemungkinan terdapat perkara yang terlepas pandang.

“Lagipun, ada perbezaan antara lawatan kerja dengan majlis rasmi. Kalau setakat lawatan kerja saya, saya tak nak ganggu masa Menteri Besar,” katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement