PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) dilakukan susulan wujud "sedikit pengkhianatan".
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata terdapat cubaan menggugat pentadbiran di Negeri Sembilan, walaupun kestabilan politik dan ekonomi negeri disifatkan berada pada tahap yang baik.
"Kalau tak khianat, baguslah. Tetapi kalau kita tengok pengalaman kita di Negeri Sembilan, tentunya ada usaha dalam keadaan stabil politiknya...ekonominya... Tetapi ada usaha-usaha untuk menjatuhkan.
"Jadi, itu bagi saya ada sedikit pengkhianatan (di Negeri Sembilan)," katanya selepas majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 (MAT-X) Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (Koprojaya) di sini pada Ahad.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bahawa tidak timbul isu pengkhianatan apabila sesuatu penggal pentadbiran di peringkat negeri mahupun nasional berakhir dan tamat.
Kenyataan Ahmad Zahid dibuat bagi menafikan dakwaan sesetengah pemimpin PH yang dikatakan melabel UMNO sebagai 'pengkhianat' susulan pengumuman PRN di Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan bahawa kejayaan kerjasama politik memerlukan komitmen semua pihak untuk menghormati muafakat yang dipersetujui, sekali gus mengelakkan tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran.
Mengenai PRN Johor pula, Anwar berkata perkara itu terpulang kepada kerajaan negeri untuk membuat keputusan bagi membubarkan DUN.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata keutamaan ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha menjana pertumbuhan ekonomi negara serta menangani pelbagai masalah yang dihadapi rakyat.
"Dalam soal Johor ini, itu terserahlah dia hendak adakan pilihan raya lebih awal, tapi saya kata tumpuan kita menjana pertumbuhan, ekonomi negara, masalah rakyat.
"Ini masalah rakyat itu, kalau dalam tiga empat bulan ni kita sibuk soal pilihan raya, padahal kalau kita dapat dalam dua tiga bulan dalam keadaan krisis ekonomi, tumpu, itu saya maksudkan," ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai depan sebagai hari pengundian bagi PRN Johor, manakala PRN Negeri Sembilan akan diadakan pada 1 Ogos.