CANBERRA: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menyasarkan untuk memperkenalkan modul teknologi roket dan misil kepada pelajar kejuruteraan seawal 2027.
Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, modul baharu itu akan disepadukan ke dalam program kejuruteraan sedia ada dan akan menjadi subjek wajib bagi pelajar kejuruteraan, sekali gus memberi pendedahan kepada mereka terhadap teknologi aeroangkasa, roket dan misil.
“Pertama, bagi mereka yang mempunyai latar belakang kejuruteraan, kita akan menyediakan kursus jangka pendek.
"Kursus ini akan dibantu oleh universiti-universiti di Australia yang akan menghantar tenaga pakar ke UPNM bagi melatih pensyarah serta meningkatkan kemahiran tenaga pengajar dan kakitangan tempatan berdasarkan pengalaman serta kepakaran mereka.
“Kedua, bagi peringkat prasiswazah, kita akan menambah modul baharu dalam program pengajian sedia ada, khususnya pada peringkat pengkhususan, yang merangkumi bidang aeroangkasa serta teknologi roket dan misil,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, pada Rabu.
Tambahnya, bagi peringkat pascasiswazah pula, pendekatan yang sama akan dilaksanakan dengan penambahbaikan kurikulum bagi memperkukuh kepakaran dalam bidang tersebut.
Selain itu, beliau berkata, inisiatif berkenaan digerakkan menerusi kolaborasi strategik bersama universiti terkemuka di Australia yang mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang roket dan misil, seperti University of Southern Queensland (UniSQ) dan University of New South Wales (UNSW).
Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan kurikulum tersebut, beliau berkata perbincangan awal telah diadakan bersama UniSQ dengan delegasi universiti berkenaan yang dijadual melawat UPNM dalam masa terdekat bagi memperincikan pemadanan program kejuruteraan sedia ada dengan modul baharu itu.
“Universiti-universiti ini akan menjadi rakan strategik UPNM. Selepas mencapai persetujuan bersama dan menyelaraskan program yang bersesuaian, barulah Memorandum Persefahaman (MoU) akan dimeterai.
“Kerjasama itu turut melibatkan program pertukaran akademik, termasuk menghantar pelajar UPNM ke universiti-universiti berkenaan, manakala pensyarah mereka akan datang ke UPNM untuk berkongsi kepakaran.
“Pertukaran pensyarah dan ilmu ini akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memperkukuh kapasiti UPNM,” katanya lagi.
Jelasnya, strategi pembangunan kepakaran tempatan dalam teknologi roket dan misil merangkumi empat fasa utama, iaitu peningkatan kemahiran melalui kursus pendek, penambahbaikan silibus bagi peringkat prasiswazah dan pascasiswazah, serta kerjasama dengan pemain industri seperti Weststar Group dan Rocket Technologies International (RTI).
Menurut beliau, pelajar UPNM kemudiannya akan menjalani latihan secara praktikal di fasiliti industri yang dibangunkan menerusi kerjasama kedua-dua syarikat itu bagi memperoleh pengalaman secara langsung dalam teknologi roket dan misil.
Arman Rumaizi berkata, UPNM turut diamanahkan Kementerian Pertahanan sebagai penyelaras utama dalam mengkoordinasikan kepakaran universiti awam lain, selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara yang dilancarkan Januari lalu.