GEORGE TOWN: Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib berharap Kerajaan Persekutuan akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap permohonan pembinaan sebuah Dewan Istiadat di kawasan Seri Mutiara bagi memperkukuh pelaksanaan istiadat rasmi dan memelihara kedaulatan institusi negeri.
Beliau berkata, kewujudan Dewan Istiadat itu penting bagi membolehkan Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang dilaksanakan dengan penuh tertib, adat dan kebesaran yang selayaknya.
Beliau berkata, menjadi kelaziman dalam amalan Raja-Raja Melayu dan Negeri-Negeri Yang Dipertua Negeri bahawa istiadat penganugerahan yang berdaulat dilaksanakan di Dewan Istiadat dalam lingkungan istana atau kediaman rasmi Ketua Negeri sebagai lambang kedaulatan, kesinambungan tradisi serta kemuliaan institusi.
“Maka wajar Pulau Pinang turut memiliki sebuah Dewan Istiadat yang menjadi mercu tanda kebesaran negeri serta wadah memelihara adat dan warisan yang diwariskan turun-temurun. Saya sedia maklum bahawa permohonan pembinaan Dewan Istiadat ini telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan.
“Mudah-mudahan segala urusan dipermudahkan dan diberikan pertimbangan yang sewajarnya,” katanya dalam ucapan Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang Tahun 2026 Sempena Hari Ulang Tahun Ke-85 Yang Dipertua Negeri di Dewan Sri Pinang, di sini, hari ini.
Tun Ramli berkata, pembinaan Dewan Istiadat berkenaan penting bagi membolehkan kerajaan negeri menjalankan tanggungjawab yang mendukung pemeliharaan daulat, maruah dan kedaulatan negeri Pulau Pinang.
Sementara itu, beliau turut menyeru semua pihak supaya terus menjunjung amanah, memperkukuh perpaduan serta mengamalkan tadbir urus berintegriti bagi memastikan kemajuan dan kemakmuran negeri dikekalkan dalam mendepani pelbagai cabaran global.
Beliau berkata, nilai amanah, integriti dan akauntabiliti perlu menjadi pegangan utama di setiap peringkat kepimpinan dan pentadbiran, khususnya ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi, perubahan iklim, perkembangan teknologi serta landskap geopolitik yang semakin mencabar.
“Setiap kemajuan yang dicapai hendaklah sentiasa disandarkan kepada amanah, integriti dan kepercayaan rakyat. Sesungguhnya, kepercayaan rakyat adalah tiang seri kepada sesebuah pemerintahan yang berwibawa.
Tun Ramli berkata, usaha membangunkan negeri, setiap dasar dan perancangan harus sentiasa mengimbangi pertumbuhan ekonomi, kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan sosial agar manfaatnya dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap iltizam Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk terus memperkukuh ekonomi, memperkasa agenda transformasi digital serta meningkatkan daya saing negeri sebagai hab pelaburan dan teknologi yang diyakini di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau turut berharap kerajaan negeri terus mengamalkan budaya pembelajaran, keterbukaan dan penambahbaikan berterusan melalui perkongsian amalan terbaik daripada bandar serta negara yang berjaya bagi memastikan Pulau Pinang kekal relevan dan berdaya saing.
Terdahulu, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang dimulakan dengan 17 das tembakan meriam diikuti dengan tabik hormat dan pemeriksaan perbarisan serta kawalan kehormatan.
Tun Ramli memeriksa barisan kawalan kehormatan utama Pasukan Simpanan Persekutuan Negeri Pulau Pinang yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Hibatul Hakimi Mahamud.
Hari ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri (Dato’ Seri), mendahului senarai 230 penerima.
Tahun ini, sebanyak 101 individu akan menerima Darjah Kebesaran manakala 1,120 lagi dianugerahkan Bintang dan Pingat Kehormatan pada istiadat yang diadakan selama empat hari sehingga 15 Julai.
-- BERNAMA