Skip to main content

Malaysia

Tindakan tegas penting untuk pelihara kepercayaan rakyat terhadap polis - Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR, June 8 -- Secretary General of Ministry of Women, Family and Community Development Datuk Dr Maziah Che Yusoff (centre) giving a certificate of appreciation to the Alliance for a Safe Community founder and chairman Tan Sri Lee Lam Thye (right) during the Living Your Golden Years Ordinary People Living Extraordinary Lives Conference and Exhibition at Kuala Lumpur Craft Complex today.  Also present Founding President of Third Age Media Association Cheah Tuck Wing (left).  --fotoBERNAMA (2024) COP
Lee berkata insiden itu sememangnya menjadi tumpuan orang ramai dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Penahanan beberapa anggota polis yang dipercayai terlibat dalam kes pemerasan baru-baru ini perlu dipandang serius dan ditangani tanpa kompromi bagi memberikan mesej jelas bahawa salah laku seumpama itu tidak sesekali diterima.

Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat  Tan Sri Lee Lam Thye berkata insiden itu sememangnya menjadi tumpuan orang ramai dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat. 

"Salah laku sedemikian amat dikesali dan tidak boleh diterima. Namun, penting untuk memahami perkara ini dalam konteks yang sewajarnya kerana hanya segelintir individu yang terlibat dan bukan mewakili keseluruhan pasukan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata tindakan segelintir individu yang "tidak bertanggungjawab" tidak boleh dipandang ringan, dan dakwaan berlakunya pemerasan, khususnya apabila warga asing menjadi mangsa, ia menjejaskan asas kepercayaan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang negara.

Beliau berkata dakwaan mengenai salah laku itu telah mencemarkan imej pasukan polis, menghakis  keyakinan rakyat terhadap institusi negara dan turut boleh menjejaskan reputasi Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Lee berkata pihak berkuasa telah mengambil tindakan yang tepat dengan menyiasat perkara itu secara tegas dan tanpa kompromi, dan sesiapa yang didapati bersalah perlu dikenakan hukuman setimpal mengikut lunas undang-undang.

Insiden berkenaan wajar dijadikan pemangkin untuk memperkukuh mekanisme semak dan imbang, selain memastikan standard tertinggi integriti serta profesionalisme terus dipertahankan dalam seluruh pasukan polis.

"Kita tidak boleh membenarkan kesilapan segelintir kecil individu menidakkan tugas cemerlang yang telah dilaksanakan oleh majoriti besar anggota polis yang berdedikasi.

"Dengan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang, sambil terus menyokong anggota yang berkhidmat dengan penuh integriti dan profesionalisme, kita dapat mengekalkan kredibiliti pasukan polis serta memelihara kepercayaan dan keyakinan rakyat," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement