Skip to main content

Malaysia

Tiada penglibatan pihak lain, mangsa sukarela tinggalkan kawasan sekolah - Polis

IPOH, 12 Jun -- Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin bercakap ketika sidang media selepas Majlis Serah Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menurut Mohd Alwi, pihak polis menerima laporan berhubung penemuan kedua-dua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian. - Gambar fail/BERNAMA

IPOH: Polis tidak menemukan sebarang penglibatan pihak lain dalam kes kematian dua pelajar perempuan berusia 14 tahun di kawasan Flat Sungai Pari berhampiran Buntong semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal turut mendapati kedua-dua mangsa dipercayai meninggalkan kawasan sekolah secara sukarela sebelum kejadian.

Menurut beliau, pihak polis menerima laporan berhubung penemuan kedua-dua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia.

“Setakat ini, siasatan tidak menemukan sebarang keterangan yang menunjukkan penglibatan mana-mana pihak lain dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, dua pelajar perempuan ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat atas sebuah bangunan perumahan kosong berhampiran Buntong.

Kedua-dua mangsa yang merupakan rakan baik dikatakan belajar di sekolah yang sama di Ipoh dan mengikuti sesi persekolahan pada waktu petang.

Mengulas lanjut, Mohd Alwi berkata, siasatan masih diteruskan dan punca sebenar kematian hanya dapat disahkan selepas laporan bedah siasat serta analisis forensik diperoleh.

“Orang ramai dinasihatkan supaya menghormati privasi keluarga, tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement