KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri mengesahkan semua rakyat Malaysia yang berdaftar di Kuwait berada dalam keadaan selamat susulan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait pada awal pagi Rabu (3 Jun).
Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, setakat ini tiada laporan diterima mengenai mana-mana rakyat Malaysia yang terjejas akibat insiden tersebut.
Wisma Putra memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait sedang memantau rapat perkembangan semasa dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat terkini.
Susulan serangan berkenaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait telah ditutup sementara dan semua penerbangan komersial digantung sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Penerbangan yang sepatutnya tiba di Kuwait kini dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, Arab Saudi.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang terjejas akibat gangguan penerbangan dinasihatkan supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai penjadualan semula atau pengaturan perjalanan alternatif.
Wisma Putra turut menggesa rakyat Malaysia yang menetap atau berada di rantau berkenaan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi segala arahan keselamatan, sekatan pergerakan serta langkah kecemasan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, rakyat Malaysia yang masih belum mendaftarkan keberadaan mereka di luar negara disaran berbuat demikian segera menerusi portal e-Konsular Kementerian Luar Negeri bagi memudahkan urusan komunikasi dan bantuan sekiranya diperlukan.
Wisma Putra turut memberi jaminan akan memantau situasi tersebut secara dekat dan menyalurkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.