Skip to main content

Teknologi

Microsoft perkenal Project Solara, platform Android untuk peranti AI

Sumber: AMANZ
Menurut Microsoft, platform tersebut direka untuk membolehkan peranti beroperasi tanpa kebergantungan kepada aplikasi tradisional, sebaliknya menggunakan ejen AI bagi melaksanakan tugasan secara autonomi. -Foto Amanz

MICROSOFT Corp mengumumkan pengenalan Project Solara, sebuah platform berasaskan Android sumber terbuka (AOSP) yang direka untuk menyokong peranti kecerdasan buatan (AI) generasi baharu.

Pengumuman itu dibuat pada persidangan Microsoft Build, sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa ekosistem perkakasan AI, lapor Amanz.

Menurut Microsoft, platform tersebut direka untuk membolehkan peranti beroperasi tanpa kebergantungan kepada aplikasi tradisional, sebaliknya menggunakan ejen AI bagi melaksanakan tugasan secara autonomi.

Sistem ini menyokong input pelbagai bentuk termasuk arahan suara, visual serta data persekitaran bagi memproses maklumat secara berterusan.

Dalam sesi demonstrasi, Microsoft memperlihatkan dua konsep peranti iaitu skrin pintar desktop dan peranti boleh pakai berbentuk lencana pintar yang dilengkapi kamera serta teknologi komunikasi jarak dekat (NFC).

Skrin pintar itu berupaya memproses data dan membantu penyediaan bahan kerja secara automatik, manakala peranti boleh pakai digunakan untuk menganalisis maklumat persekitaran melalui input visual dalam pelbagai senario operasi.

Microsoft memaklumkan platform tersebut berpotensi digunakan dalam pelbagai sektor termasuk penjagaan kesihatan, peruncitan dan kewangan.

Dalam sektor kesihatan, penggunaan peranti khusus dilihat berpotensi membantu meningkatkan pengurusan data serta mengurangkan kebergantungan kepada peranti peribadi.

Project Solara turut menyokong integrasi dengan komponen daripada pengeluar semikonduktor seperti Qualcomm dan MediaTek.
Selain itu, platform berkenaan direka untuk digunakan pada pelbagai jenis peranti termasuk cermin mata pintar, jam tangan, pengimbas dan fon kepala.

Microsoft menjelaskan Project Solara berfungsi sebagai asas perisian, manakala pembangunan dan pengeluaran peranti fizikal akan dilaksanakan oleh rakan pengilang peralatan asli (OEM).

Pelancaran ini mencerminkan perkembangan berterusan dalam teknologi ejen AI apabila industri global beralih daripada model aplikasi kepada sistem automasi pintar berasaskan konteks.

 

Must Watch Video

Advertisement