KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi projek restorasi Tugu Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia tahun depan.
Insentif tersebut akan disalurkan kepada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerusi Dana Duta bagi Pemeliharaan Warisan Budaya (Ambassadors Fund for Cultural Preservation, AFCP).
Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat ke Malaysia, David H. Gamble Jr. berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen AS dalam memelihara warisan budaya yang turut mempunyai nilai sejarah kepada hubungan kedua-dua negara.
“Sehubungan itu, saya berbesar hati mengumumkan malam ini bahawa Jabatan Negara Amerika Syarikat telah meluluskan geran sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja pemuliharaan Tugu Negara.
"Seperti yang diketahui, di Washington D.C, terdapat memorial yang serupa iaitu United States Marine Corps War Memorial atau lebih dikenali sebagai Memorial Iwo Jima, kerana kedua-dua monumen itu dihasilkan oleh pengukir yang sama iaitu Felix de Weldon.
"Beliau juga pernah datang ke Malaysia. Dengan persamaan yang ketara serta bagaimana kedua-dua monumen ini mengeratkan hubungan antara negara kita, kami berusaha selama beberapa bulan dan berjaya mendapatkan kelulusan untuk menyalurkan RM1 juta kepada Malaysia.
"Dana ini bertujuan memastikan Tugu Negara berada dalam keadaan baik menjelang ulang tahun penting negara tahun hadapan," beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Freedom 250 Reception - Celebrating 250 years of American Independence di ibu negara pada Khamis.
Tambahnya, projek restorasi Tugu Negara akan dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia dan dijangka dimulakan tahun hadapan.
Untuk rekod, Tugu Negara Malaysia dihasilkan oleh artis Amerika yang turut mereka bentuk Marine Corps War Memorial di Arlington, Virginia iaitu Felix de Weldon.
Dana AFCP itu bertujuan membekalkan sumber kepada pasukan pemuliharaan UMK bagi kerja restorasi monumen berkenaan yang mengalami kerosakan ekoran insiden pengeboman pada tahun 1975.