ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 21,000 kanak-kanak disahkan terkorban di Gaza sepanjang perang 1,000 hari, manakala ratusan ribu yang lain kehilangan tempat tinggal dan dinafikan hak mendapat pendidikan, lapor Anadolu Ajansi memetik pertubuhan Save the Children pada Khamis.
Menandakan hari ke-1,000 konflik berkenaan, agensi bantuan itu memaklumkan bahawa kanak-kanak di sana terus mengimpikan keamanan biarpun telah kehilangan rumah, sekolah dan rasa selamat.
"Setiap hari sepanjang 1,000 hari yang lepas, dunia telah mengecewakan satu juta kanak-kanak di Gaza kerana tidak campur tangan bagi menghentikan pembunuhan dan kecederaan yang menimpa mereka," kata Pengarah Serantau Save the Children bagi Timur Tengah, Afrika Utara dan Eropah Timur, Ahmad Ahendawi.
Pertubuhan itu menyatakan sekurang-kurangnya 21,000 kanak-kanak disahkan terkorban dalam perang berkenaan, namun angka sebenar berkemungkinan besar lebih tinggi memandangkan masih banyak mayat tertimbus di bawah runtuhan bangunan.
Menurutnya, lebih 800,000 kanak-kanak iaitu kira-kira 80 peratus daripada populasi kanak-kanak di Gaza telah hilang tempat tinggal, manakala 625,000 kanak-kanak dalam usia persekolahan di wilayah itu keciciran pendidikan formal selama tiga tahun.
Kanak-kanak yang ditemu bual oleh Save the Children menceritakan bahawa mereka terpaksa hidup dalam ketakutan yang berterusan, namun masih menaruh harapan untuk masa depan yang lebih baik.
"Kami boleh mati pada bila-bila masa sahaja. Saya berharap perang ini dihentikan untuk kami," kata Amani, 14.
"Saya berharap perang ini tamat supaya saya dapat menyambung pelajaran di Gaza dan menikmati hak saya sebagai manusia seperti kanak-kanak perempuan lain di negara luar. Terdapat ramai kanak-kanak di Gaza yang suara mereka tidak didengari."
Seorang lagi remaja berusia 14 tahun, Bisan berkata: "Impian saya adalah supaya perang ini dihentikan, agar setiap daripada kami dapat pulang ke rumah masing-masing, dan kehidupan kami kembali seperti sediakala."
Situasi kemanusiaan juga terus meruncing dengan dianggarkan 245,000 kanak-kanak berisiko atau sedang mengalami masalah kekurangan zat makanan berikutan bantuan kemanusiaan yang terhad, menurut pertubuhan itu.
Save the Children turut memetik laporan Suruhanjaya Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini yang mendakwa pihak berkuasa dan pasukan keselamatan Israel sengaja menyasarkan kanak-kanak Palestin, sekali gus membawa kepada dakwaan genosid, jenayah terhadap kemanusiaan serta jenayah perang di Gaza.
Pertubuhan itu menggesa agar gencatan senjata segera dan kekal dilaksanakan, selain menuntut kebertanggungjawaban terhadap jenayah yang dilakukan ke atas kanak-kanak serta penggantungan penghantaran senjata ke Israel.
Walaupun gencatan senjata telah dicapai pada Oktober 2025, Israel tetap meneruskan serangannya di Semenanjung Gaza. Secara keseluruhan, perang berkenaan telah meragut lebih 73,000 nyawa dan memusnahkan wilayah itu, yang akan mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina semula.
-- BERNAMA-ANADOLU