Skip to main content

Malaysia

Laluan hidupan liar bernilai RM66 juta di Jalan Kahang-Mersing siap Februari 2028

KEJADIAN KEMALANGAN MELIBATKAN ANAK GAJAH DI MERSING: TINDAKAN SEGERA PERHILITAN JOHOR BAGI MENJAMIN KESELAMATAN AWAM DAN HIDUPAN LIAR_FB AH SOON
Projek pembinaan laluan lintasan hidupan liar di Jalan Kahang-Mersing bernilai RM66 juta dijangka siap pada Februari 2028 dan diyakini mampu mengurangkan kejadian pelanggaran hidupan liar, sekali gus melindungi harta benda serta menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya. - Foto Facebook Ah Soon

JOHOR BAHRU: Projek pembinaan laluan lintasan hidupan liar di Jalan Kahang-Mersing bernilai RM66 juta dijangka siap pada Februari 2028 dan diyakini mampu mengurangkan kejadian pelanggaran hidupan liar, sekali gus melindungi harta benda serta menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata lintasan sejauh 1.2 kilometer dengan jejambat setinggi lapan meter dan panjang 200 meter itu membolehkan hidupan liar menyeberang jalan melalui ruang di bawah jejambat tersebut.

“Kerajaan Negeri Johor sentiasa komited dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan, keselamatan rakyat serta pemeliharaan khazanah alam dan hidupan liar negeri ini,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.

Ling berkata setakat 29 Jun lepas, projek tersebut mencapai kemajuan sekitar 10.12 peratus dan beliau sendiri telah memantau secara rapat perkembangan projek tersebut.

Beliau turut meminta pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan yang berdekatan dengan habitat hidupan liar, khususnya pada waktu malam dan di laluan dikenal pasti mempunyai pergerakan haiwan liar.

Semalam, seekor anak gajah betina dianggar berusia lima tahun mati akibat dilanggar sebuah Perodua Bezza dalam kejadian pada 2.28 pagi di Jalan Felda Nitar, Mersing. 

Kejadian itu turut menyentuh hati rakyat Malaysia apabila seekor gajah dewasa yang dipercayai ibu kepada anak gajah berkenaan, setia menunggu selama kira-kira tujuh jam di sisi anak gajah berkenaan sebelum bangkai haiwan berkenaan ditanam. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement