CAPE TOWN: Enam belas orang maut selepas sebuah bas terbalik di lebuh raya N1 berhampiran bandar Touwsrivier, di wilayah Cape Barat Afrika Selatan awal Khamis, kata pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.
"Kami mengesahkan kejadian di N1 berhampiran Touwsrivier pada kira-kira 00:40 pagi ini (2240 GMT Rabu) di mana sebuah bas yang membawa 73 penduduk Afrika Selatan telah terbalik," kata Jabatan Mobiliti Western Cape dalam satu kenyataan.
“Secara tragis, 16 orang kehilangan nyawa, manakala dua lagi cedera parah,” katanya.
"Perkhidmatan kecemasan kekal di tempat kejadian, memberikan bantuan dan menguruskan kejadian itu," menurut jabatan berkenaan sambil menambah kawalan trafik dilakukan ketika operasi menyelamat dan pemulihan diteruskan.
Dalam kenyataan berbeza, Perbadanan Pengurusan Trafik Jalan Raya (RTMC), agensi kerajaan yang ditugaskan untuk mengawasi keselamatan jalan raya di Afrika Selatan, memaklumkan bas berkenaan dalam perjalanan dari Cape Town ke Idutywa di wilayah Eastern Cape.
Menurut RTMC, bas itu didakwa terlibat dalam kemalangan satu kenderaan selepas pemandunya melencong bagi mengelak melanggar kenderaan penghantaran sebelum hilang kawalan dan bas itu terbalik.
-- BERNAMA-XINHUA