KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya tidak mempunyai kaitan dengan politik, sebaliknya merupakan reformasi institusi yang penting demi masa depan negara.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, semua Ahli Parlimen, sama ada daripada blok kerajaan mahupun pembangkang, perlu melihat pindaan itu dari sudut kepentingan negara dan institusi demokrasi, bukannya berdasarkan pertimbangan politik.
Beliau berkata, pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bukan sahaja melaksanakan pemisahan kuasa, malah membebaskan institusi pendakwaan daripada pengaruh pihak eksekutif.
"Ini akan menjamin institusi pendakwaan yang mempunyai kuasa besar dapat menjalankan tanggungjawabnya secara bebas tanpa dipengaruhi atau diarahkan oleh mana-mana pihak bagi tujuan tertentu.
"Kita perlu meletakkan negara dan Parlimen pada satu kedudukan yang jauh daripada permainan politik. Ini tiada kaitan dengan politik, sebaliknya untuk masa depan negara," katanya dalam sidang media mingguan di sini, pada Jumaat.
Fahmi berkata, beliau telah meneliti RUU berkenaan yang telah dipinda dengan mengambil kira pelbagai cadangan dikemukakan Ahli Parlimen daripada kerajaan serta blok pembangkang.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menambah, pindaan itu membuktikan Kerajaan MADANI mendengar pandangan semua pihak dan bersedia menambah baik RUU berkenaan tanpa mengira latar belakang politik.
"Datuk Seri Azalina Othman Said telah mengambil kira pelbagai pandangan yang dikemukakan sebelum ini. RUU itu melalui proses jawatankuasa dan beberapa perubahan telah dibuat bagi memasukkan isu-isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Rakyat," katanya.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut membincangkan RUU tersebut dan berharap ia mendapat sokongan dwipartisan apabila dibahaskan di Dewan Rakyat.
Tegasnya, kerajaan komited membahaskan dan meluluskan RUU berkenaan dalam sidang Parlimen ini.
"Insya-Allah, kita berharap semua Ahli Parlimen dapat melihat perkara ini sebagai satu reformasi institusi demi kepentingan negara," katanya.
Sehubungan itu, Fahmi berharap semua Ahli Parlimen dapat memberikan sokongan terhadap pindaan Perlembagaan berkenaan demi memperkukuh kebebasan institusi pendakwaan dan sistem demokrasi negara.