KUALA LUMPUR: Sejumlah RM698.4 juta telah dibelanjakan setakat Mei lepas bagi pelaksanaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, merangkumi tiga fasa utama dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3.044 bilion untuk menangani isu banjir di Kelantan.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan bagi Fasa Pertama yang melibatkan kawasan jajahan Tumpat dan sebahagian Pasir Mas, kemajuan fizikal projek telah mencapai 78.15 peratus setakat 30 Mei lepas dengan perbelanjaan RM593.4 juta.
PETRA memaklumkan Fasa Kedua pula melibatkan kawasan jajahan Jeli, Rantau Panjang dan sebahagian Pasir Mas dengan projek yang dilaksanakan secara reka dan bina ini telah bermula pada April 2026 dan dijangka siap pada Oktober 2028.
“Pada masa ini, kerja-kerja awalan sedang giat dilaksanakan termasuk kerja ukur, penyiasatan tanah bagi tujuan reka bentuk serta penyediaan pelan pengambilan tanah bagi lot yang terlibat, dengan implikasi kewangan setakat ini berjumlah RM8.7 juta,” demikian menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berkenaan status terkini projek tebatan banjir di Kelantan dan jumlah sebenar peruntukan yang telah diluluskan dan dibelanjakan sehingga kini.
PETRA memaklumkan bagi Fasa Ketiga yang merangkumi kawasan Tumpat, Pasir Mas, Jeli dan Rantau Panjang, ia turut dilaksanakan secara reka dan bina bagi melengkapkan Fasa Pertama dan Kedua.
Kerja-kerja bagi fasa berkenaan telah bermula pada April 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2029, dengan kemajuan fizikal di tapak kini mencecah 15.96 peratus melibatkan perbelanjaan sebanyak RM96.3 juta.
Sementara itu, menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong), kementerian berkenaan memaklumkan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Pinang Fasa 1 di Pulau Pinang kini mencapai kemajuan 44.73 peratus dan dijadualkan siap pada 2027 untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan Jelutong.
Bagi Parlimen Parit Buntar pula, kementerian itu memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menyiapkan Kajian Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) Sungai Kerian pada 2025, selain sedang melaksanakan projek pembinaan dan pembaikan ban pantai di Kuala Kurau bernilai RM11.18 juta yang kini mencapai kemajuan 45 peratus.
Dalam perkembangan lain, PETRA memaklumkan pihaknya sedang melaksanakan Projek Mengatasi Banjir Pantai di Sarawak melibatkan kos keseluruhan RM316.3 juta secara reka dan bina merangkumi empat pakej di 17 lokasi, yang dijadualkan memasuki fasa reka bentuk terperinci mulai November ini.
Menjawab soalan Datuk Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) mengenai status projek di Kampung Paloh Lama dan Kampung Belawai, kementerian itu memaklumkan kedua-dua projek perlindungan pantai berkenaan adalah di bawah seliaan kerajaan negeri.
Projek struktur lapis lindung batu di Kampung Paloh Lama bernilai RM6.4 juta kini mencatatkan kemajuan fizikal 27.27 peratus dan dijangka siap pada Mei tahun depan, manakala projek pembangunan tebing pantai Kampung Belawai bernilai RM161.77 juta pula berada di peringkat reka bentuk.
“Dari segi keberkesanan, perlu dijelaskan bahawa hakisan pantai merupakan proses semula jadi yang dipengaruhi oleh ombak, arus dan keadaan morfologi pantai yang bersifat dinamik.
“Oleh itu, projek yang dilaksanakan ini adalah untuk mengurangkan masalah hakisan banjir pantai yang berlaku secara semula jadi dan perlaksanaan projek fizikal ini dapat mengurangkan impak dengan mengurangkan kadar hakisan, mengawal impak ombak serta meminimumkan risiko kepada kawasan penempatan dan infrastruktur, khususnya semasa musim tengkujuh dan kejadian air pasang besar," menurut kementerian itu.
-- BERNAMA