SEREMBAN: Sebanyak 91.06 peratus kadar keluar mengundi direkodkan dalam proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang berlangsung hari ini, bermula jam 8 pagi.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus dalam kenyataan memaklumkan, kadar itu melibatkan seramai 14,995 pengundi yang terdiri daripada anggota tentera dan polis serta pasangan mereka.
Menurut SPR, sebanyak 38 pusat mengundi awal dibuka di seluruh Negeri Sembilan bagi tujuan pengundian awal tersebut.
“Pusat pengundian awal ini ditutup pada jam 12.00 tengah hari (18 pusat mengundi), jam 2.00 petang (dua pusat mengundi) dan jam 5.00 petang (18 pusat mengundi).
“Seramai 16,467 orang anggota tentera dan pasangan serta anggota polis layak untuk mengundi awal dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Negeri Sembilan Ke-16 ini,” menurut kenyataan itu.
SPR turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya serta pasukan yang telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik sepanjang proses pengundian awal berlangsung.
Selain itu, SPR turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), petugas media serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada suruhanjaya itu.
Pengundian awal melibatkan keseluruhan sebanyak 22,339 pemilih dengan 16,467 orang mengundi secara fizikal merangkumi 11,293 tentera dan pasangan serta 5,174 polis dan pasangan manakala selebihnya mengundi secara pos.