Skip to main content

Malaysia

Prestasi pelaksanaan infrastruktur luar bandar capai 97.65 peratus sepanjang RMK12 - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Perhimpunan Kami Gen MARA
Menurut Ahmad Zahid, penilaian terhadap pembangunan luar bandar tidak seharusnya hanya dilihat daripada aspek pencapaian fizikal seperti pembinaan, naik taraf dan pembaikan jalan luar bandar. - Gambar fail/Astro AWANI

KLUANG: Prestasi pelaksanaan program infrastruktur luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mencapai 97.65 peratus sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pencapaian itu dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada petang semalam, melibatkan penilaian terhadap semua program infrastruktur KKDW di seluruh negara.

“Petang semalam sewaktu mesyuarat Jemaah Menteri, saya telah membentangkan prestasi infrastruktur luar bandar, di mana kertas itu memperlihatkan pencapaian semua program infrastruktur KKDW di seluruh negara.

“Tempoh kajian adalah sepanjang Rancangan Malaysia ke-12 dan Alhamdulillah pencapaian kita sepanjang Rancangan Malaysia ke-12 adalah 97.65 peratus,” katanya dalam satu sidang media di sini.

Menurut Ahmad Zahid, penilaian terhadap pembangunan luar bandar tidak seharusnya hanya dilihat daripada aspek pencapaian fizikal seperti pembinaan, naik taraf dan pembaikan jalan luar bandar.

Sebaliknya, beliau berkata, infrastruktur yang disediakan perlu dilihat dari sudut impaknya kepada penduduk luar bandar, termasuk membuka peluang pendidikan, melahirkan lebih ramai usahawan serta mengurangkan penghijrahan penduduk ke kawasan bandar.

“Yang paling penting, dengan adanya infrastruktur di kawasan luar bandar atau kawasan desa ini, ia telah membuka peluang pendidikan, peluang mewujudkan ramai usahawan, peluang untuk mengurangkan mobiliti sosial secara horizontal.

“Dulunya terlalu ramai eksodus ataupun penghijrahan berlaku daripada kawasan luar bandar ke kawasan bandar,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kesinambungan kepada pencapaian RMK12 perlu memberi penekanan kepada aspek pengisian, bukan sekadar pembangunan infrastruktur dan utiliti.

Katanya, tumpuan selepas ini perlu diberikan kepada usaha mewujudkan industri baharu serta peluang perniagaan dan pekerjaan di luar bandar, khususnya untuk golongan muda.

“Kita mahu mempertahankan industri baharu, mewujudkan usahawan dalam bidang baharu untuk anak-anak di luar bandar supaya tidak berlaku penghijrahan kerana peluang pekerjaan dan peluang perniagaan itu ada di luar bandar,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement