Skip to main content

Malaysia

PM Anwar seru generasi muda hayati sejarah, maknai kemerdekaan

IPOH, 19 Julai -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Jalur Gemilang sempena upacara menaikkan bendera pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 (MPBKKJG 2026) yang berlangsung di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), Tanjung Rambutan, hari ini._BERNAMA
Perdana Menteri menyampaikan Jalur Gemilang sempena upacara menaikkan bendera pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 yang berlangsung di ILKKM SAS, Tanjung Rambutan, hari ini. - Foto Bernama

IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru generasi masa kini menghayati sejarah perjuangan negara dan memaknai erti kemerdekaan yang telah dikecapi selama ini hasil pengorbanan generasi terdahulu.

Berucap ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 (MPBKKJG 2026) di sini hari ini, Anwar berkata perjuangan yang menuntut darah, keringat dan air mata pejuang kemerdekaan terdahulu perlu mengajar rakyat menghargai kesenangan yang dinikmati masa ini.

“Hari ini, kita dapat memulakan tradisi yang bukan sekadar membanggakan, tetapi memaknai erti kemerdekaan. Kita memulakan dengan mengimbau lembaran sejarah, kemudian menyemarakkan dengan mengibarkan bendera sebagai tanda persamaan kita dan seterusnya mengorak langkah memastikan masa depan yang lebih cerah dan gemilang.

“Pahit getir perjuangan yang sukar dengan darah, keringat dan air mata. Gabungan ketiga-tiga inilah yang menghasilkan kemerdekaan. Jadi, anak-anak jangan lupa perkara ini,” kata beliau.

Yang turut hadir ialah Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sementara itu, Anwar mengingatkan rakyat Malaysia yang berbilang kaum supaya tidak memberikan ruang kepada sebarang usaha untuk memecahbelahkan perpaduan yang sekian lama menjadi tunjang kekuatan negara.

Beliau berkata kekuatan Malaysia terletak pada kemampuan rakyat menghormati perbezaan kepelbagaian kaum di negara ini.

"Kekuatan Melayu bersama Cina, India, Dayak, Kadazan itu juga harus ada. Jangan izinkan orang memperkotak-katikkan dan memecahbelahkan kita kerana negara ini merdeka dengan kekuatan bersama semua rakyat Malaysia,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menyeru rakyat supaya menghayati semula cogan kata kemerdekaan "Bersekutu Bertambah Mutu", yang menurut beliau kekal relevan sebagai asas membina sebuah negara bangsa yang bersatu.

“Tunku Abdul Rahman (Putra) Al-Haj, Perdana Menteri yang pertama kemerdekaan Tanah Melayu dan Malaysia, dia pilih apa motonya, 'Bersekutu Bertambah Mutu'. Bersekutu kerana semua berbeza, berbeza kaum, berbeza agama, berbeza budaya dan wilayah. Tetapi kalau kita berpakat, bersekutu, (akan) bertambah mutu. Itu logik yang sudah dikenali,” kata beliau.

Pada majlis itu, Anwar menyerahkan bendera Jalur Gemilang berukuran 6x12 kaki persegi kepada pasukan sembilan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia bagi upacara menaikkan Jalur Gemilang sebagai simbolik pelancaran.

Majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 tetamu itu diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan bacaan ikrar Rukun Negara serta nyanyian medley lagu-lagu patriotik.

Perdana Menteri kemudian meluangkan masa menyantuni para tetamu sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Turut dilancarkan pada majlis berkenaan ialah lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM 2026) berjudul Aku Berjanji, nyanyian dan ciptaan penyanyi terkenal Faizal Tahir.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement