SIPITANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluluskan peruntukan khas segera berjumlah RM250,000 bagi tujuan pembangunan meliputi kerja-kerja membaik pulih kemudahan asas sekolah menengah di daerah Sipitang.
Beliau berkata perincian mengenai pelaksanaan bantuan serta penyaluran dana itu akan diselaraskan dengan kadar segera oleh pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
"Bagi kemudahan sekolah, saya beri RM250,000 segera kita lulus. Saya tidak mahu (projek) jadi diluluskan bulan Jun 2026 tetapi bulan Ogos 2027 baru nak buat projek, itu sikap lapuk," kata beliau ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek Sabah Southern MADANI Link, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri mahu wakil daripada agensi berkaitan turun padang ke sekolah-sekolah terlibat dalam tempoh dua minggu bagi meninjau keperluan dan memproses bantuan berkenaan demi keselesaan warga pendidik serta pelajar.
Sementara itu, Anwar memohon kerjasama seluruh rakyat Sabah untuk memastikan hubungan serta jalinan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sentiasa kekal baik demi kelangsungan pembangunan.
Beliau menjelaskan kestabilan politik di peringkat negeri dan pusat ialah tonggak paling utama bagi membolehkan kerajaan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada agenda membela nasib rakyat.
Anwar menegaskan bahawa masanya telah tiba untuk menghentikan perbalahan politik yang berpanjangan kerana ia hanya akan merugikan negeri serta menghalang kemasukan pelabur asing.
"Sebab itu saya fikir cukuplah kita berbalah dalam banyak isu, tapi politik negara ini harus stabil. Kalau tidak stabil, orang tidak melabur dan kita tak boleh tumpu perhatian dalam pembangunan," kata beliau.
-- BERNAMA