Skip to main content

Malaysia

PM Anwar dijadual rasmi Sambutan Hari Peneroka, 70 tahun FELDA hari ini

[TB]_Sambutan Hari Peneroka & 70 Tahun FELDA_FB FELDA
Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan Anugerah Tokoh Peneroka dan Penerokawati FELDA 2025, Anugerah Tokoh Generasi FELDA 2025, Anugerah Tokoh Belia dan Beliawanis FELDA 2025 dan Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA (AKRF).

MARAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan Sambutan Hari Peneroka dan 70 tahun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, di sini, hari ini. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan dijangka menyampaikan ucapan perasmian pada 2.30 petang bagi mengiktiraf jasa serta pengorbanan warga peneroka yang menjadi tulang belakang pembangunan FELDA selama 70 tahun sejak 1956.

Sambutan juga akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Pada majlis itu, Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan Anugerah Tokoh Peneroka dan Penerokawati FELDA 2025, Anugerah Tokoh Generasi FELDA 2025, Anugerah Tokoh Belia dan Beliawanis FELDA 2025 dan Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA (AKRF). 

Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA antara lain diadakan untuk memperingati tujuh dekad penubuhan FELDA sebagai institusi pembangunan tanah dan komuniti luar bandar yang berjaya mengubah taraf sosioekonomi keluarga peneroka di seluruh negara.

Inisiatif itu juga menjadi platform menghargai jasa generasi perintis FELDA serta menampilkan pencapaian organisasi dalam memacu transformasi ekonomi, pendigitalan, inovasi teknologi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti. 

Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA ialah acara kemuncak setelah program itu berlangsung selama empat hari bermula 4 Julai dengan lebih 40 aktiviti dianjurkan merangkumi teknologi, sukan, pendidikan, inovasi, kebudayaan dan kerohanian. 

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement