KUALA LUMPUR: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang di Taman Permata, Hulu Kelang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata remaja itu, N. Barath, kali terakhir dilihat pada 7 malam Ahad lepas ketika membawa keluar anjing peliharaan ibunya untuk bersiar-siar.
“Ibu mangsa mula mencari remaja terbabit selepas mendapati anaknya itu masih belum pulang pada 8 malam dan hanya menemukan anjing peliharaan mereka diikat pada sebatang pokok di tepi jalan berhampiran rumah, manakala remaja berkenaan gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Khairul Anuar berkata Barath berketinggian 155 sentimeter, berat 62 kilogram, berkulit gelap, berambut hitam dan kali terakhir dilihat memakai seluar jeans berwarna hitam dan t-shirt berwarna biru.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja itu diminta menghubungi Sjn Mohd Saiful Shahfuzi Mohd Radzi di talian 019-3202055.
Dalam kenyataan berasingan, Khairul Anuar berkata polis juga memohon bantuan orang ramai mengesan seorang remaja perempuan, Qaseh Atika Mohd Naim, 17, yang dilaporkan hilang di Ukay Perdana, Ampang, Selangor, Ahad lepas.
Beliau berkata ibu mangsa membuat laporan selepas mendapati remaja itu tiada di rumah pada 8 malam dan ibu mangsa juga dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa anaknya tidak hadir sesi persekolahan semalam.
Khairul Anuar berkata Qaseh Atika berketinggian anggaran 157 cm, berat 45 kg, berbadan kurus dan berkulit sawo matang.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja itu diminta menghubungi Insp Nur Faizah Mohd Anuar di talian 017-3422804.
-- BERNAMA