Skip to main content

Malaysia

Kerajaan perkenal program pengakuan sukarela e-Invois hingga 31 Dis 2027 - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 7 Julai -- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Majlis Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Majlis Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan Program Pengakuan Sukarela e-Invois sehingga 31 Dis 2027 sebagai ikhtiar tambahan bagi mengurangkan kos pematuhan perniagaan khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sepanjang tempoh ini, sebarang kemas kini, semakan dan pembetulan yang dikemukakan secara sukarela tidak akan dikenakan penalti oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

“Ini satu keputusan yang selalunya tidak berlaku sedemikian bagi cukai pendapatan,” kata beliau pada  Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai sama ada Kerajaan MADANI peka kepada cabaran yang dihadapi sektor perniagaan, khususnya usahawan PMKS dalam menghadapi senario global semasa dan langkah kerajaan untuk menyokong kelangsungan PMKS.

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut bersetuju mempercepat insentif cukai dengan membenarkan tuntutan penuh elaun modal dalam tempoh setahun bagi perbelanjaan layak berkaitan pelaksanaan e-Invois.

“Langkah itu adalah sebagai tanda penghargaan dan galakan kepada pembayar cukai untuk mematuhi sepenuhnya pelaksanaan e-Invois,” kata beliau.

Menurut Anwar, pada Disember 2025, kerajaan telah menaikkan nilai ambang pendapatan bagi pengecualian e-Invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta, yang memanfaatkan lebih sejuta pembayar cukai. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement