Skip to main content

Malaysia

Abdul Latif buru lompatan bersejarah di Glasgow

Sumber: BERNAMA
Abdul Latif memasang impian memecahkan rekod dunia 7.67 meter (m) miliknya pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly memasang impian memecahkan rekod dunia 7.67 meter (m) miliknya pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.

Selepas menunggu dua edisi untuk melihat acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) dipertandingkan di pentas Sukan Komanwel, Abdul Latif berkata, beliau mahu menjadikan penampilan sulung acara itu sebagai detik bersejarah buat dirinya dan negara.

Juara dunia para lima kali dan pemenang dua pingat emas Sukan Paralimpik itu berkata, persiapannya kini berada pada tahap 95 peratus, serta disahkan bebas daripada kecederaan menjelang temasya sukan empat tahun sekali itu.

“Ini kali pertama lompat jauh kategori saya dianjurkan di Sukan Komanwel. Saya tunggu dua edisi (Gold Coast 2018 dan Birmingham 2022) tiada dan tahun ini acara T20 dipertandingkan...saya ada sasaran untuk cipta rekod dunia, saya ingin bagi yang terbaik sebab mungkin edisi akan datang acara ini tiada.

“Bulan lepas di Terbuka Malaysia saya sudah buat 7.76m (bukan para), itu sudah melebihi rekod dunia (para). Di Sukan Komanwel kalau boleh saya nak sasar 7.80m ke atas,” kata atlet berusia 29 tahun itu ketika ditemui pada sesi latihan skuad olahraga para negara di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, baru-baru ini.

Abdul Latif yang mencipta rekod dunia 7.67m pada Kejohanan Dunia di New Delhi, India tahun lepas berkata, meskipun sudah beraksi di temasya lebih besar terutamanya Sukan Paralimpik, beliau tetap menganggap penampilan di Glasgow 2026 sebagai peluang istimewa yang tidak mahu disia-siakan.

Sementara itu, jurulatih olahraga para kebangsaan, Eryanto Bahtiar berkata, Abdul Latif menjadi sandaran utama kem olahraga para negara untuk menyumbang emas di Glasgow berdasarkan prestasi dan statistik semasa.

“Kalau tengok data, memang emas Insya-Allah. Dia datang bukan semata-mata nak capai sasaran emas, tetapi nak pecah rekod dunia di Sukan Komanwel,” katanya.

Selain Abdul Latif, dua lagi atlet para yang bakal menggalas cabaran negara di Glasgow adalah Eljoe Gotuoh dalam acara lompat jauh lelaki T20 dan Muhammad Noorhelmie Mohd Rabi dalam acara 100m lelaki T12 (kecacatan penglihatan).

Eryanto berkata, Eljoe dan Noorhelmie merupakan prospek masa depan olahraga para negara, dengan Eljoe dilihat sebagai antara pelapis utama Abdul Latif dalam acara lompat jauh T20.

“Untuk Eljoe, kita sasarkan dia catatan peribadi terbaik dan kalau ada rezeki, kita nampak dia juga boleh menyumbang pingat. Untuk Noorhelmie, saingan 100m T12 memang betul-betul kuat, sekurang-kurangnya kita mahu dia masuk final,” katanya.

Glasgow 2026 mempertandingkan 10 jenis sukan, termasuk olahraga, renang, berbasikal trek, boling padang, tinju, judo dan angkat berat, selain enam sukan para yang dipertandingkan secara bersepadu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement