Skip to main content

Malaysia

Kes tikam rakan sekolah: 'Saya sedia jumpa keluarga suspek' - Bapa mangsa

[TB]_Bapa pelajar kes tikam_SINAR
Mohd Firuz ketika ditemui pemberita di Hospital Banting pada Selasa. Gambar kanan: Tangkap layar video tular kejadian tikam di sekolah.

BANTING: Bapa kepada pelajar yang cedera ditikam di sebuah sekolah di sini menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan keluarga suspek.

Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata, setakat ini beliau belum menerima sebarang panggilan daripada keluarga suspek.

“Ya, saya bersedia untuk berjumpa... tengok keadaan dahulu macam mana,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Banting di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada keluarganya bersedia memaafkan suspek berhubung kejadian yang menimpa anak keduanya yang berusia 15 tahun.

Menurutnya, beliau berharap tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pihak yang terlibat dan insiden berkenaan dijadikan pengajaran memandangkan kejadian itu berlaku di kawasan sekolah.

“Pada masa sama, saya berharap anak saya mendapat keadilan yang sewajarnya,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi pada Isnin, mangsa dilaporkan mengalami antara 14 hingga 16 kesan tikaman selepas diserang seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi dilaporkan berkata, suspek telah ditahan dan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement