KUALA LUMPUR: Jaguh pecut muda negara Muhammad Azeem Fahmi mengambil keputusan untuk kekal di bawah bimbingan jurulatih dari Amerika Syarikat Ken Harnden sehingga tamat musim ini.
Muhammad Azeem yang lebih dikenali sebagai Azeem berkata beliau tidak berhasrat untuk menukar jurulatih dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap kemajuan prestasinya pada musim ini.
“Perancangan saya untuk tahun ini adalah kekal bersama jurulatih Ken Harnden sehingga akhir musim, selepas tamat musim ini baru kami akan memutuskan untuk terus berlatih dengannya atau mencuba alternatif lain.
“Tidak sesuai untuk saya bertukar jurulatih pada pertengahan musim, terutama apabila kami mempunyai pertandingan besar. Mungkin perkara itu sedikit sebanyak akan mengganggu kemajuan saya sepanjang musim ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini semalam.
Pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) itu berkata keputusan untuk kekal bersama Ken Harnden dibuat kerana keseluruhan program latihan bagi musim ini telah dirancang sejak Disember lepas.
“Saya bersikap terbuka untuk membuat perubahan baharu dalam karier. Sebab saya tahu pada akhirnya, akan ada banyak perubahan untuk saya menjadi lebih baik tetapi kami sudah menstrukturkan program latihan sejak Disember lepas untuk dilalui musim ini. Apa-apa keputusan mungkin bergantung selepas Sukan Asia nanti,” katanya yang kini menjalani latihan sepenuhnya di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Azeem tetap menyambut baik pelantikan jurulatih baharu skuad olahraga kebangsaan dari Afrika Selatan yang disifatkannya sebagai jurulatih pecut berkelas dunia.
Anak jati Perak itu berkata berdasarkan maklumat yang diterima daripada bekas rakan sepasukan di Universiti Auburn, program latihan yang bakal dibawa oleh Thabo Matebedi mempunyai persamaan dengan corak latihan yang dilaluinya di Amerika Syarikat.
“Seorang daripada rakan sepasukan saya di Auburn, iaitu Dario Matau sebelum ini berlatih bersama beliau. Jadi apa yang saya dengar, beliau seorang jurulatih yang hebat, corak latihannya agak sama dengan Ken Harnden. Sangat menarik untuk kita melantik jurulatih pecut bertaraf dunia dari Afrika Selatan,” katanya.
Olahraga Malaysia (MA) bersama MSN baru-baru ini melantik Matebedi sebagai Ketua Jurulatih Acara Pecut Negara baharu bagi memperkukuh persiapan skuad kebangsaan menghadapi kejohanan besar seperti Sukan Asia 2026 dan Sukan SEA 2027.
Sepanjang bersama Universiti Auburn, pencapaian paling menonjol Azeem termasuklah membantu kuartet 4×100m universiti itu memecahkan rekod Grand Final Persatuan Atletik Kolej Kebangsaan (NCAA) dengan catatan 37.75 saat, memenangi pingat emas Kejohanan Olahraga Persidangan Tenggara (SEC) serta melakar rekod kebangsaan 200m dalam dewan (21.20s).
Azeem yang memegang status pelari terpantas negara dengan rekod kebangsaan 10.09 saat dalam acara 100 meter lelaki serta pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2022 di Hangzhou bakal beraksi pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.
-- BERNAMA